May 4, 2015

Budak dilanggar depan bapa

KUALA NERANG – Seorang bapa berdepan saat menyedihkan dalam hidupnya kelmarin apabila bukan sahaja kehilangan anak bongsunya dalam kemalangan malah turut menyaksikan sendiri kejadian itu di depan matanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam kelmarin itu, mangsa, Megat Naqiuddin Megat Hasbi, 5, maut selepas dilanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja berusia 19 tahun ketika melintas jalan di Kilometer 0.5 Jalan Kuala Nerang-Pokok Sena di sini.

Menurut Megat Hasbi Basarudin, 39, sebelum kejadian, dia bersama isterinya, Zalifah A. Brohim, 38, dan tiga anaknya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kemangi di sini dari Kampung Tandop Besar selepas menziarahi seorang saudara sebelum singgah di sebuah kedai untuk membeli roti canai.

KOsmo 4 Mei 2015


Kepala berdarah, kaki terkulai

Padang Terap: “Saya tergamam apabila kepala anak berlumuran darah manakala kaki kirinya terkulai selepas melambung apabila dilanggar sebuah motosikal ketika mahu melintas jalan sejurus membeli roti canai.”

Begitu kata Megat Hasbi Basarudin, 39, bapa Megat Naqiuddin, 5, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 0.5, Jalan Kuala Nerang-Pokok Sena, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 malam, mangsa dikatakan berlari ke arah kereta bapanya selepas terlepas daripada genggaman ibunya, Zalifah A Brohim, 38, sebelum sebuah motosikal ditunggang remaja lelaki berusia 19 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

Megat Hasbi yang bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap berkata, sebelum kejadian dia bersama isteri dan dua anak perempuan berusia 12 dan 13 tahun serta Megat Naqiuddin keluar untuk membeli makanan.

“Pada mulanya kami ingin membeli burger, namun kedai tidak dibuka menyebabkan saya ke kedai makan di lokasi kejadian untuk membeli roti canai.

“Ketika itu, hanya isteri dan tiga anak yang keluar membeli roti canai sementara saya menunggu di dalam kereta yang diletakkan di seberang jalan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kemangi, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika itu dia sedang membaca mesej di aplikasi WhatsApp, namun sebaik menoleh ke seberang jalan, dia terlihat percikan api dari motosikal berkenaaan sementara anak lelakinya dalam keadaan melambung sebelum jatuh bergolek.

“Remaja lelaki yang terbabit dalam kemalangan itu turut membantu memangku anak saya yang sudah tidak bermaya dan berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian membawa Megat Naqiuddin ke Hospital Kuala Nerang, dekat sini, namun anaknya itu gagal diselamatkan apabila disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

myMetro 4 Mei 2015


Lihat anak melambung depan mata

Lokasi kejadian yang meragut nyawa Megat Naqiuddin. Gambar kecil: Megat Naqiuddin

KUALA NERANG - “Saya sungguh terkilan kerana sebelum ini dia selalu bersama saya apabila turun dari kereta untuk sesuatu urusan.

Kelmarin, saya memandu kereta dan hanya membenarkan isteri memegang tangan anak, tapi malang tidak berbau kemalangan berlaku,” demikian kata Megat Hasbi Megat Basarudin, 39, selepas anaknya, Megat Naqiuddin, 5, meninggal dunia kerana dilanggar motosikal.

Menurut Megat Hasbi, kejadian berlaku apabila tiga anak dan isterinya turun untuk melintas jalan membeli roti canai di Kilometer 0.5 Jalan Kuala Nerang-Pokok Sena kira-kira jam 7.45 malam .

"Kami baru pulang dari Kampung Tandop Besar menziarahi bapa saudara sebelum singgah di situ beli roti canai untuk makan malam.

"Masa hendak lintas jalan, anak saya rentap tangan ibunya. Dia melintas untuk naik kereta tapi tak sempat melintas ada motosikal datang dari arah pekan Kuala Nerang dan melanggar anak saya," katanya.

Katanya, kejadian berlaku pantas dan dia hanya mampu melihat motosikal bergesel atas jalan raya, manakala anaknya melambung.

"Masa saya pangku anak, kepalanya berdarah dan kaki kirinya patah. Penunggang motosikal itu juga bantu saya pangku anak dan bawa masuk dalam kereta sebelum dibawa ke Hospital Kuala Nerang," katanya.

Menurutnya, dia juga berterima kasih kepada penunggang motosikal itu yang dikatakan baru pulang solat dari masjid berdekatan apabila memberi bantuan walaupun dirinya juga tercedera.

“Dialah yang memangku anak saya sehingga dibawa ke dalam hospital.

"Anak saya itu meninggal dunia kira-kira jam 9 malam selepas setengah jam dirawat di dalam bilik kecemasan,” katanya.

Menurut Megat Hasbi, terdapat beberapa perubahan dengan sikap anaknya sebelum dia meninggal dunia.

"Tiga hari lalu, masa hendak ambil kakaknya di Maktab Rendah Sains Malaysia (MRSM) di Pendang, dia tiba-tiba buang air kecil sedangkan sebelum ini dia akan beritahu.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya itu dan ALLAH SWT hanya meminjamkan kami selama lima tahun untuk bersamanya," katanya.

Arwah Megat Naqiuddin dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Masjid Tandop Besar, Kuala Nerang.

Sinar Harian 4 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment