May 3, 2015

Jumpa bayi dalam longkang

BAYI lelaki yang dimtemui. FOTO Ahmad Othman

Kota Tinggi:Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dijumpai di dalam longkang di belakang rumah di Felda Lok Heng di sini, 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita bahawa jirannya menemui bayi lelaki yang masih hidup di dalam longkang belakang rumah.

Menurutnya, beberapa anggota polis yang diketuai Ketua Polis Balai Bandar Penawar, Inspektor Wan Nasrul Fariq bergegas ke lokasi dan Klinik Lok Heng kerana bayi dihantar ke sana untuk mendapatkan rawatan.

"Hasil siasatan polis mendapati bayi lelaki yang baru dilahirkan kira-kira sejam dan masih bertali pusat dijumpai penghuni rumah terbabit yang mendengar tangisannya.

"Bayi terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan dan seterusnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut," katanya.

Susulan penemuan itu, polis menahan seorang wanita berusia 27 tahun dipercayai ibu bayi berkenaan.

myMetro 3 Mei 2015


Mengapa buang aku?

KEADAAN bayi selepas menerima rawatan di HKT sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Gambar kecil, tempat bayi yang baru dilahirkan dijumpai (bulatan) dalam keadaan tertiarap di belakang tandas.

Kota Tinggi: Seorang wanita sanggup mencampak bayi lelaki yang baru dilahirkan ke dalam longkang di belakang rumah saudara di FELDA Lok Heng, di sini, Jumaat lalu, dalam usaha mengelak rahsia dia mengandung tanpa ikatan perkahwinan diketahui keluarga.

Wanita berusia 27 tahun dari Ulu Tiram itu dikatakan berkunjung ke rumah berkenaan bersama ahli keluarganya sempena cuti umum.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, wanita berkenaan ke tandas selepas mendakwa sakit perut, tetapi tiada ahli keluarga mengetahui dia sedang berbadan dua.

Dia dikatakan melahirkan anak di dalam tandas sebelum membuang bayi yang masih bertali pusat itu ke longkang di belakang rumah berkenaan.

Malah, wanita berkenaan dikatakan membersihkan dirinya dan keluar untuk bersama keluarganya seperti tiada apa-apa yang berlaku.

myMetro 4 Mei 2015


Wanita buang bayi dicekup di Kota Tinggi

Longkang yang menjadi tempat pembuangan bayi lelaki di Felda Lok Heng, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI – Seorang wanita muda yang dipercayai membuang bayi lelaki yang baru dilahirkannya di dalam tandas ke luar rumah di Felda Lok Heng dekat sini akhirnya ditahan polis pada Jumaat lalu.

Wanita berusia 27 tahun dari Ulu Tiram, Johor Bahru dan masih belum berkahwin tersebut melakukan perbuatan itu di rumah saudaranya ketika bercuti sempena Hari Pekerja.

Semasa berada di rumah tersebut, wanita itu yang merahsiakan tentang kehamilannya kemudian mengalami sakit perut dan memberitahu saudaranya bahawa dia ingin ke tandas dengan alasan sakit perut kerana datang haid.

Kosmo 4 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment