April 21, 2015

Warga Indonesia maut, dinding penapis serombong asap runtuh

SIBU: Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah setelah dinding penapis serombong asap sebuah kilang di Bukit Lan di sini runtuh.

Mangsa terbunuh dikenali Ratman Usman, warganegara Indonesia manakala rakan sekerjanya yang cedera parah merupakan rakyat tempatan dikenali sebagai Ahmad Tarmezi Yusuf, 22.

Seorang lagi pekerja warga Indonesia kilang itu dikenali Ariandi Effendi masih menerima rawatan di Hospital Sibu.

Dalam kejadian sekitar jam 1 petang Sabtu lalu, ketiga-tiga mereka diminta memeriksa penapis serombong asap berkenaan setelah gagal berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun, ketika mereka cuba membaiki kerosakan, dinding penapis tersebut runtuh.

Akibatnya, ketiga-tiga mereka terkena percikan habuk yang sedang terbakar.

Rakan sekerja yang tersentak dengan insiden itu bergegas memberi bantuan dan menghantar mereka ke Hospital Sibu.

Ratman disahkan meninggal dunia sekitar jam 3.30 petang keesokan harinya manakala Tarmezi dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.

Satu laporan polis dibuat majikan ketiga-tiga mangsa untuk tindakan lanjut.

Utusan Borneo 24 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment