April 21, 2015

Warga emas ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung

KUCHING: Seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tergantung di dalam bilik tidur di rumah keluarganya di Semariang di sini, awal pagi semalam.

Mangsa berusia 60-an itu yang turut dilaporkan mengalami masalah mental, sepatutnya dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) Selasa lepas untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan bertindak agresif ketika hendak dihantar menyebabkan keluarganya bersetuju tidak menghantarnya ke hospital pada hari berkenaan.

“Pada malam hari sebelum kejadian, mangsa seperti biasa berbual dengan keluarganya sebelum memasuki bilik tidurnya sekitar jam 9 malam kerana mengantuk.

“Difahamkan, abang mangsa yang risau akan keadaan mangsa dikatakan setiap malam akan tidur di luar bilik tidurnya kerana risau mangsa akan berbuat sesuatu yang membahayakan dirinya.

“Kerana letih, abang mangsa terlelap dan hanya terjaga dari tidur sekitar jam 4 pagi namun mandapati mangsa tiada lagi di atas katilnya dan terkejut melihatnya dalam keadaan tergantung,” kata sumber.

Selepas menurunkan mangsa, keluarganya terus menghubungi pihak ambulans dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang bergegas ke tempat kejadian.

Anggota dari balai polis berhampiran turut hadir di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa dihantar ke rumah mayat HUS untuk dibedah siasat.

Utusan Borneo 26 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment