April 21, 2015

Lelaki mati ditembak kerana disangka babi hutan

SIMUNJAN: Gara-gara disangka babi hutan, seorang lelaki terbunuh setelah ditembak oleh saudara sendiri ketika sedang berburu di Bukit Selabu Ensika, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah DSP Choo Yin Kok berkata mangsa iaitu Bagong Andil, 52, semasa kejadian bersama seorang saudara dan menantunya masuk ke dalam hutan berkenaan dengan niat untuk memburu iaitu sekitar jam 5 petang.

Difahamkan, tiba di satu lokasi di hutan berkenaan, mereka telah berpecah sehingga mangsa yang bergerak seorang diri itu disangkakan seekor babi hutan lalu menyebabkan saudaranya melepaskan tembakan ke arahnya.

“Selepas mereka bertiga sampai di Bukit Selabu, mereka berpecah di mana mangsa berjalan seorang diri manakala suspek(saudara) dan menantu mangsa berjalan ke tempat lain.

“Sekitar jam 5.15 petang, suspek ternampak pergerakan menyerupai seekor babi hutan dan dia telah melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.

“Apabila suspek memeriksa, dia terkejut melihat mangsa rebah dan berlumuran darah dengan kesan tembakan di rusuk kirinya,” kata Choo ketika mengulas mengenai insiden tersebut semalam.

Suspek dan menantu mangsa kemudian mengangkat mangsa dan mendapati dia tidak lagi bernyawa menyebabkan mereka segera keluar dari hutan berkenaan untuk melaporkan insiden tersebut kepada pihak polis.

“Mayat mangsa telah dialihkan penduduk kampung sebelum dihantar ke Hospital Simunjan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal di tempat kejadian juga telah dijalankan anggota daripada Balai Polis Simunjan sementara menunggu bantuan daripada Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak,”kata Choo lagi.

Menurutnya, suspek berusia 42 tahun itu ditahan di bawah Sekysen 304A Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

Utusan Borneo  27 Feb 2015


0 comments:

Post a Comment