April 21, 2015

Suspek curi kabel maut terkena renjatan elektrik

RENJATAN: Mayat mangsa ditemui di dalam stesen berkenaan.

KUCHING: Seorang lelaki dari Petra Jaya ditemui maut di dalam sebuah stesen kecil milik syarikat pembekal kuasa berhampiran Taman Muhibbah di Jalan Matang di sini, semalam.

Menurut sumber, syarikat berkenaan mengerahkan juruteknik ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan selepas mendapati terdapat amaran pada sistem.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi sekitar jam 8 pagi, mereka dikejutkan dengan penemuan seorang lelaki yang tidak bernyawa.

Turut ditemui berhampiran mayatnya adalah sebuah beg yang mengandungi pelbagai peralatan seperti pemutar skru.

Sebuah motosikal turut ditemui di luar stesen tersebut, dipercayai milik lelaki berkenaan.

Lelaki tersebut dipercayai memanjat masuk ke dalam stesen kecil berkenaan memandangkan tidak ada kesan umpilan pada pintu masuk.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek yang mengesahkan insiden itu ketika dihubungi semalam memberitahu, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan disyaki cuba mencuri kabel apabila terkena renjatan elektrik.

Mayat lelaki yang berusia 35 tahun itu dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Utusan Borneo 7 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment