April 21, 2015

Mati menyayat hati

RENTUNG: Bomba berusaha mengeluarkan mangsa selepas memadamkan kebakaran.

MENINGGAL: Pasukan perubatan mengesahkan mangsa mati di tempat kejadian.

Pemuda rentung selepas terbabit dalam kemalangan di Batu 18, Jalan Kuching-Serian

KUCHING: Nyawa seorang pemuda dari Kampung Sebemban di Serian berakhir dalam keadaan menyayat hati apabila rentung selepas terbabit dalam kemalangan di Batu 18, Jalan Kuching-Serian, dekat sini.

Dalam kejadian sekitar jam 11.45 malam itu, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi secara bersendirian dikatakan menuju ke arah Kuching.

Bagaimanapun setibanya di Batu 19, kenderaan dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan menghala Serian.

Myvi dipandu mangsa seterusnya dirempuh lori membawa tar yang datang dari arah Kuching lalu terbakar.

Pemandu lori berusia 27 tahun dari Jalan Sungai Tengah di Matang yang hanya mahu dikenali sebagai Lee menyifatkan kejadian itu berlaku dengan begitu pantas.

Katanya dia nampak Myvi berkenaan yang bergerak laju, hilang kawalan sebelum ‘terbang’ ke laluan bertentangan dan melanggar lori dipandunya.

Apabila dia keluar dari lori berkenaan katanya, api sudah mula marak.

Dia bersama pengguna jalan raya lain yang turut berhenti, berusaha memadamkan kebakaran itu menggunakan air di dalam kereta masing-masing.

Mereka juga berusaha mengeluarkan mangsa yang dalam keadaan separuh sedar namun tidak berjaya memandangkan dia tersepit di dalam kereta, katanya.

“Kebakaran hanya dapat dipadamkan untuk tempoh seketika sebelum marak semula. Kami terus berusaha memadamkan kebakaran tersebut tetapi menemui jalan buntu,” katanya.

Pasukan bomba tiba tidak lama kemudian bagi membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mangsa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek yang mengesahkan insiden itu memberitahu, mangsa dikenal pasti sebagai Orie Ngindang, berusia 22 tahun.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat melecur dan rentung seluruh badan,” katanya.

Cuaca semasa kejadian adalah hujan dan permukaan jalan licin.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan Borneo 7 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment