April 21, 2015

Serpihan kaca jadi petunjuk

Mayat mangsa yang ditemui bersama serpihan kaca kenderaan di Kilometer 5, Jalan Ulu Kanchong-Rantau, awal pagi semalam. Gambar kecil: Surugam

REMBAU – Seorang lelaki maut dipercayai dilanggar lari selepas mayatnya ditemui di Kilometer 5 Jalan Ulu Kanchong-Rantau, di sini, kira-kira 4.30 pagi semalam.

Mayat mangsa, A Surugam, 56, telah diperiksa oleh polis dan forensik dan disahkan tiada unsur jenayah berikutan pihak berkuasa hanya menemui serpihan kaca kenderaan di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat.

“Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6852222,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, anak mangsa, S Janage, 23, berkata, kali terakhir dia bertemu ayahnya sekitar jam 8 malam sebelum kejadian ketika mereka berada di rumah di Rumah Rakyat Chengkau.

Kata Janage, selepas menikmati makan malam, ayahnya masuk ke bilik dan dia hanya menyedari ayahnya keluar dari rumah dengan menaiki sebuah kenderaan yang dijemput individu tidak dikenali selepas dimaklumkan oleh kakaknya.

“Menurut kata jiran, ayah dijemput oleh seorang lelaki yang memberitahu ada ahli keluarga ingin berjumpa dengannya.

"Bagaimanapun kira-kira jam 7.30 pagi, polis memaklumkan ayah terbabit dalam kemalangan dan telah meninggal dunia.

“Saya terkejut macam mana ayah boleh sampai ke lokasi berkenaan sebab ayah sakit kencing manis dan juga mengidap tekanan darah tinggi,” katanya.

Sinar Harian 21 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment