April 21, 2015

Hati sayu anak tanggung derita

Machang: “Saya cukup sedih melihat dia hanya terbaring dengan tiub getah di mulut. Anak saya masih terlalu kecil untuk menempuh derita sebegini,” kata Rosnani Mat Ghani, 40, ibu kepada bayi perempuan berusia setahun yang menderita penyakit saraf rosak menyebabkannya sukar bernafas.

Bayi itu yang dikesan menderita penyakit Hypoxic Ischaemic Encephalopathy (HIE) tahap dua kini hanya bergantung kepada mesin oksigen dan memerlukan penjagaan rapi untuk meneruskan hidup.

Rosnani dari Kampung Bandar Lama Machang berkata, anak bongsunya, Adamia Fitri Mat Rahim itu terpaksa ditahan di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu selama tiga bulan lalu sejak dilahirkan pada 2 Februari 2014.

Menurutnya, disebabkan pelbagai komplikasi, bayinya sekali lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II sejak Februari lalu.

Katanya, Adamia Fitri juga mempunyai masalah di paru-paru kiri, manakala otaknya mengecut menyebabkannya memerlukan pemantauan rapi sepajang masa.

“Pada 17 Februari lalu, jantungnya pernah berhenti seketika selepas pembedahan menyebabkan dia kini ditempatkan di ICU HRPZ II.

“Biarpun doktor memberitahu kemungkinan anak saya tidak normal dan pertumbuhannya terbantut, namun sebagai ibu, saya akan terus memohon semoga Adamia Fitri diberikan kesihatan yang baik dan terus menjaganya hingga akhir hayat,” katanya yang juga suri rumah sepenuh masa.

Menurutnya, dengan pendapatan suami, Mat Rahim mat Hassan, 49, yang bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan sekitar RM40 sehari, memang tidak mencukupi untuk menanggung kos rawatan bayinya itu serta empat anak lain berusia lapan hingga 18 tahun yang masih bersekolah.

“Kena berjimat cermat untuk tampung keperluan,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan bagi menampung keperluan makanan bayinya itu.

myMetro 21 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment