April 24, 2015

Rotan anak orang sampai berbirat

Kesan kecederaan dialami seorang kanak-kanak yang didakwa dirotan pengasuhnya. FOTO Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Seorang suri rumah membuat laporan polis terhadap pengasuh anak perempuannya berusia tiga tahun kerana mendakwa anaknya dirotan oleh wanita berusia 40-an itu di Taman Sri Yaacob, di sini, semalam hingga cedera di beberapa anggota badan.

Lau Hui Choon, 32, berkata, kejadian berlaku pada hari ketiga dia menghantar anak perempuannya itu dan anak lelaki bongsu berusia setahun ke rumah pengasuh berkenaan.

Menurutnya, pengasuh berkenaan yang dikenali sebagai auntie menghubunginya pada 8 malam semalam dan mengadu anak perempuannya berkelakuan nakal.

Katanya, pengasuh berkenaan juga mendakwa terpaksa merotan kanak-kanak berkenaan dengan alasan mahu mendisplinkannya.

"Selepas menerima panggilan, saya ke rumah pengasuh itu kerana bimbang dengan keselamatan anak.

"Saya terkejut melihat kaki dan tangan anak perempuan saya cedera dipercayai akibat dirotan wanita berkenaan.

"Saya mengambil keputusan untuk membawa pulang kedua-dua anak dan membuat laporan polis di Balai Polis Nusajaya semalam," katanya ketika ditemui hari ini.

myMetro 24 Apr 2015


Budak 3 tahun teruk dirotan

JOHOR BAHRU – Hanya kerana terkencing di atas sofa, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dirotan dengan teruk oleh pengasuhnya pada kaki dan tangan dalam satu kejadian di Taman Tan Sri Yacob di sini kelmarin.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 8 malam itu menyebabkan mangsa mengalami kesan lebam merah dan birat teruk pada kedua-dua kaki dan tangannya.

Difahamkan, mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh warga tempatan tersebut bersama adik lelaki mangsa berusia setahun enam bulan pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, ibu mangsa yang tinggal di Taman Nusa Bestari di sini dikatakan menerima panggilan daripada pengasuh berkenaan yang membuat aduan mengenai perilaku anaknya.

Kosmo 25 Apr 2015


Dirotan pengasuh sampai berbirat

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tidak menyangka rotan yang diberikan kepada seorang pengasuh bagi menakutkan anak-anaknya digunakan untuk membelasah anak sulungnya sehingga mengalami calar dan bengkak di beberapa bahagian anggota badan.

Lau Hui Choon, 33, berkata, dia pada mulanya menyangka anak-anaknya dipukul ringan sebaik dihubungi wanita berusia 40-an itu yang memberitahu memukul anak sulung kerana kencing di atas sofanya dan terlalu nakal.

Bagaimanapun, menurutnya, dia terkejut selepas ke rumah pengasuh dan mendapati anak sulungnya itu berbirat dan bengkak di bahagian tangan dan kaki serta punggung.

“Saya bagi dia rotan sekadar menakut-nakutkan anak saya supaya tidak nakal.

“Tapi saya kesal dengan tindakan dia memukul anak saya yang masih kecil sehingga disahkan doktor sangat serius kerana bahagian punggung mula membengkak,” katanya.

Hui Choon berkata, perkhidmatan wanita itu diperoleh melalui iklan di internet dengan bayaran sebanyak RM1,500 sebulan bagi dua anaknya yang berusia tiga tahun dan setahun enam bulan.

Menurutnya, pengalaman sedemikian amat menakutkannya sehingga membatalkan hasratnya untuk bekerja sebagai juruwang di Taman Selesa Jaya bermula 1 Mei depan.

“Saya tak kenal pengasuh ini, cuma mengetahui perkhidmatan yang ditawarkan melalui internet selepas menerima tawaran bekerja bermula 1 Mei depan.

“Saya membuat keputusan untuk menghantar anak-anak lebih awal supaya mereka boleh menyesuaikan diri apabila saya sudah mula bekerja nanti," katanya.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Nor Hashim Mohamad mengesahkan menerima laporan polis di Balai Polis Nusajaya kelmarin.

"Bagaimanapun, selepas beberapa jam, wanita berkenaan bertindak menarik balik laporan yang dibuat sebelum itu, " katanya.

Sinar Harian 25 April 2015


‘Bukan ini caranya!’

Johor Bahru: “Saya memberikan rotan untuk dia menakut-nakutkan anak, bukan memukulnya sesuka hati sehingga berbirat seluruh badan,” kata Lau Hui Choon, 32, yang terkilan dengan perbuatan pengasuh memukul anak perempuannya berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di rumah pengasuh itu di Taman Sri Yaacob, di sini, kelmarin.

Lau berkata, dia terkilan dengan tindakan pengasuhnya yang dipanggil ‘auntie’ itu kerana menyebabkan anak perempuannya bernama Chloe itu bukan saja cedera di paha, betis dan lengan, malah kini trauma.

Katanya, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada pengasuh anaknya yang berumur 40-an kira-kira jam 8 malam kelmarin memaklumkan terpaksa merotan anaknya itu kerana nakal.

“Dia (pengasuh) mungkin panik selepas anak saya menangis tanpa henti akibat kesakitan selepas dirotan kerana mendakwa anak saya kencing di atas sofa lalu menghubungi saya.

“Oleh kerana tidak sedap hati, saya bergegas ke rumahnya yang terletak di kawasan berdekatan dan sebaik tiba saya terkejut melihat Chloe sedang menangis.

myMetro 25 Apr 2015



0 comments:

Post a Comment