April 21, 2015

Dipercayai terjatuh, niat cari kerja tidak kesampaian

MAUT: Anggota paramedik memeriksa keadaan mangsa di tempat kejadian.

KUCHING: Niat seorang lelaki mencari pekerjaan di bandar raya ini tidak kesampaian apabila dia terbunuh selepas dipercayai terjatuh dari koridor tingkat tiga sebuah bangunan komersil di Jalan Canna di sini, lewat malam kelmarin.

Mangsa ialah Mohamad Norafi Abdul Wahab, 22, berasal dari Kampung Pelandok Laut, Sadong Jaya.

Menurut rakannya, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada 11 adik-beradik baharu tiba dari kampung kelmarin, bertujuan mencari pekerjaan di sini kerana ingin membantu menyara keluarganya.

“Dia (mangsa) baharu sampai di sini (Kuching) petang tadi (kelmarin) dan terus pergi temu duga pekerjaan di sebuah pasar raya. Oleh kerana hari sudah gelap dan risau sekiranya hujan, dia menyatakan hasratnya untuk bermalam di sini.

“Jadi sebelum tidur, kami melepak di koridor bilik tempat kami menyewa dan sekitar jam 10.30 malam, saya dan beberapa kawan masuk tidur kerana perlu bangun awal nanti (semalam).

“Ketika itu, hanya dia (mangsa) seorang sahaja yang masih berada di koridor tersebut dan kami hanya menyedari dia terjatuh sebaik sahaja ketibaan pihak polis di sini,” kata rakannya itu.

Sementara itu, saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Sugeng memberitahu, sekitar jam 11 malam mangsa dilihat berbaring di atas simen koridor berkenaan.

“Saya baharu pulang kerja ketika itu dan ketika menjenguk ke luar tingkap, saya terlihat dia (mangsa) berbaring di atas simen koridor itu. Saya ada menyuruhnya turun, tetapi dia enggan dan memberitahu dia mahu berehat.

“Sekitar jam 11.45 malam, saya mendengar bunyi dentuman kuat, tetapi tidak menyangka yang dia terjatuh,” kata Sugeng.

Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Beberapa anggota polis dari Balai Polis Tabuan Jaya bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching DSP Lim Bak Phai hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai SDR sehingga laporan bedah siasat diperolehi,” kata Roslan.

Utusan Borneo 12 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment