March 28, 2015

Pemandu lori kontena maut nahas

Sebuah kereta dan dua lori terbabit dalam kemalangan di simpang laluan ke Felcra Changkat Lada pagi semalam.

KAMPUNG GAJAH - Seorang pemandu lori kontena  membawa muatan ikan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 24, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, berdekatan  simpang masuk ke Felcra Changkat Lada, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan oranga awam berhubung insiden tersebut pada kira-kira jam 9.45 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati pemandu sebuah kereta Waja berusia 60 tahun yang memandu seorang diri dari Felcra Changkat Lada menuju ke pekan Kampung Gajah membelok ke kanan tanpa memberi laluan kepada kenderaan di jalan utama iaitu Jalan Bota Kanan- Teluk Intan.

“Ketika itu juga, sebuah lori kontena membawa muatan ikan yang datang dari arah Teluk Intan cuba mengelak kereta Waja berkenaan namun tidak sempat dan melanggar kenderaan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, kereta dan lori kontena berkenaan memasuki laluan bertentanga.

“Lori kontena itu kemudiannya berlanggar dengan lori muatan batu-bata yang datang dari arah Bota,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohamad Fakri berkata, rempuhan kuat menyebabkan, pemandu lori kontena, N Satheyamurthe, 33, yang berasal dari Ayer Tawar tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu kereta Waja, Abdul Aziz Abdullah mengalami kecederaan parah dan di hantar ke Hospital Changkat Melintang untuk dirawat.

“Kelindan lori kontena dikenali sebagai R Sehgar, 41,  yang juga berasal dari Ayer Tawar patah tangan dan pemandu lori muatan batu-bata, V Sasidharan, 24, pula patah kedua-dua kakinya. Mereka turut dihantar ke Hospital Changkat Melintang,” katanya.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 namun sehingga kini masih tiada sebarang tangkapan dibuat.

Sinar Harian 26 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment