March 28, 2015

Ruang tamu jadi seperti kolam air

Zamroh menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak dan bocor di Pekan Sanglang, semalam.

PONTIAN - Kekangan kewangan dihadapi seorang ibu tunggal di Pekan Sanglang, di sini, menyebabkan dia tidak mampu menggantikan bumbung rumahnya yang bocor sejak beberapa tahun lalu.

Zamroh Abd Rahman, 64, berkata, selepas kematian suami 11 tahun lalu akibat barah usus, dia tidak mempunyai pendapatan untuk membaiki rumah pusaka berusia lebih 100 tahun yang dibina sendiri oleh datuknya.

“Walaupun mak cik mempunyai dua anak lelaki tetapi dan salah seorang dari mereka sudah berkeluarga, namun mak cik tidak mahu menyusahkan mereka,” katanya.

Zamroh berkata, setiap kali hujan dia terpaksa berlindung di ruang tengah kerana kesemua bahagian bumbung ruang tamu rumahnya berlubang.

Menurutnya, dia juga terpaksa meletakkan besen di merata-rata tempat bagi mengelak lantai basah.

“Kadang kala mak cik rasa seperti tinggal dalam kolam kerana selepas hujan keadaan ruang tamu dipenuhi air.

“Mak cik tidak ada pilihan kerana hanya inilah tempat untuk mak cik berteduh," katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya lagi, bukan hanya bumbung rumahnya bocor tetapi kayu-kayunya juga sudah mula reput dimakan anai-anai.

“Mak cik bimbang untuk memijak lantai kerana banyak kayu yang sudah reput dan tidak selamat. Mak cik juga pernah terjatuh kerana memijak lantai yang reput pada waktu malam,” katanya lagi.

Warga emas itu berkata, dia pernah cuba memohon untuk mendapatkan bantuan bulanan daripada pihak berkaitan, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.

“Jika ada bantuan, sekurang-kurangnya wang tersebut boleh digunakan untuk membaiki rumah ini.

“Kali terakhir rumah ini dibaiki kira-kira 10 tahun lalu, ketika itu mak cik guna duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mak cik yang sebelum ini bekerja di kilang nenas untuk membeli zink terpakai.

“Mak cik sangat berharap agar rumah pusaka ini dapat dibaiki terutama bahagian bumbung dan lantai rumah yang semakin uzur,” katanya.

Sinar Harian 26 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment