February 1, 2015

Nahas langgar lari penuh tragis

Keadaan mayat mangsa selepas digilis dua kenderaan dalam nahas itu. 

KUALA LIPIS - Kematian penuh tragis. Itulah yang dapat digambarkan terhadap kematian seorang warga Vietnam setelah terlibat kemalangan langgar lari, di Kilometer 9, Jalan Lipis-Benta, berdekatan Kampung Penjom di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata, mangsa, Dao Van Chong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal keluar dari persimpangan Kampung Penjom bertembung sebuah Proton Preve yang dipandu lelaki berusia 30 tahun yang datang dari arah bandar Kuala Lipis ke Taman Jelai, Benta di sini.

"Akibat pertembungan itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan dalam waktu sama mangsa dirempuh pula sebuah sebuah lori muatan satu tan dan diikuti sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux berwarna putih.

“Tanpa mempedulikan keadaan mangsa, lori dan Hilux berkenaan terus memecut lari dari tempat kejadian. Sehingga kini polis masih belum mengetahui nombor pendaftaran kedua-dua kenderaan tersebut,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, pemandu Proton Preve yang tidak mengalami sebarang kecederaan dan bekerja sebagai pemandu syarikat perlombongan emas di Kampung Penjom telah memberi keterangan kepada polis.

“Proton Preve dan motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan. Ketika kejadian, keadaan cuaca baik, permukaan jalan rata. Namun, pemandangan di persimpangan Kampung Penjom sedikit gelap walaupun ada lampu jalan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Johnny James Bujang, di cawangan trafik IPD Lipis menerusi talian 09-3122222 untuk membantu siasatan.

Sinar Harian 1 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment