February 2, 2015

Bengang ditegur, anak acu parang

KUALA TERENGGANU - Bengang ditegur si ayah kerana tindakannya membakar kertas di dalam rumah, seorang lelaki bertindak mengacukan sebilah parang sambil mengugut mahu membunuh warga emas itu, dalam kejadian di Kampung Tebauk, Gong Badak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, suspek berusia 36 tahun dan tidak bekerja itu naik hantu apabila mangsa berusia 67 tahun menegur tindakannya selepas melihat kesan terbakar di dalam bilik suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan masuk ke dalam bilik suspek dan ternampak kesan kertas terbakar di dalam bilik anaknya.

Jelas beliau, melihatkan keadaan itu, mangsa menegur tindakan suspek yang dilihat boleh menyebabkan rumah mereka terbakar dan tanpa menduga tegurannya itu mengundang kemarahan suspek.

“Suspek yang tidak dapat menerima teguran tersebut mengamuk sebelum mengambil sebilah parang yang ada di dapur lalu mengacukan senjata itu ke arah leher mangsa.
“Bukan itu saja, suspek yang juga penagih dadah turut mengugut mahu membunuh warga emas itu,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, dalam kekalutan itu, mangsa bagaimanapun berjaya merampas parang yang dipegang suspek sebelum menyimpan senjata tersebut di dalam bilik kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, mangsa memaklumkan kejadian seumpama itu sering kali berlaku terutama ketika anaknya berada dalam pengaruh dadah menyebabkan dia dan ahli keluarga lain sentiasa berada dalam ketakutan.

“Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada seorang lagi anak lelakinya berusia 32 tahun sebelum satu laporan polis dibuat kerana bimbang keselamatan mereka.

“Susulan laporan dibuat, suspek ditahan tidak lama kemudian dan kini direman selama dua hari mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Bagi kesalahan itu, suspek boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sinar Harian 2 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment