February 25, 2015

Lemas ketika menangkap udang

PASIR PUTEH - Seorang lelaki ditemui mati lemas petang kelmarin di Lagun Maut, Kuala Semerak di sini, selepas dia dikatakan keluar dari rumah jam 10 malam Ahad lalu, untuk menangkap udang.

Mohd Suhaimi Abd Hadi, 47, dari Kampung Jelor di sini, ditemui dalam keadaan terlangkup di dasar lagun jam 6.35 petang oleh sepupunya, Hashim Ismail, 46, dan anggota penyelamat.

Hashim berkata, ketika ditemui, tangan arwah masih menggenggam erat lampu suluh dan sauk yang digunakan untuk menangkap udang.

Katanya, dia mengetahui kehilangan arwah jam 3 petang kelmarin, sebelum bergegas ke lokasi.

“Saya meminjam bot penduduk untuk mencarinya di sekitar lagun selama dua jam, tapi gagal kerana air pasang.

“Kami ternampak objek seperti lampu kecil yang dipakai Mohd Suhaimi di kepala dan apabila kami menghampiri objek tersebut, barulah nampak jasad arwah dengan kedua-dua kaki terbenam dalam lumpur,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) di sini, malam kelmarin.

Katanya, isteri arwah, Wan Sarimah Wan Awang, 46, meminta jiran mencari arwah yang tidak pulang ke rumah seperti biasa.

Berikutan itu katanya, beberapa penduduk kampung berusaha mencarinya sejak jam 7 pagi lagi kerana arwah sepatutnya pulang lebih awal untuk menghantar anak ke sekolah.

Mohd Suhaimi dikatakan keluar menyuluh di kawasan itu beberapa hari sebelum kejadian dan membawa pulang udang untuk keluarga, bukan untuk dijual sebagai menambah pendapatan.

Mohd Suhaimi menjadi ‘korban’ terbaharu lagun tersebut yang mana sebelum ini meragut 29 nyawa sehingga 3 September 2011 dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menutupnya kepada orang awam.

Lagun Maut terbentuk selepas kuala tertutup secara semula jadi sekitar tahun 80an sehingga kawasan itu kekal menjadi kawasan berair dengan mendapan lumpur tebal.

Ketua Polis Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.39 petang kelmarin.

Sinar Harian 25 Feb 2015


Kaku pegang lampu suluh

Seorang lelaki ditemui lemas di dasar Lagun Semerak, Tok Bali, di sini, dengan kedua-dua tangannya masih memegang lampu suluh dan sauk menangkap udang.

Mayat Mohd Suhaimi Abd Hadi, 47, dari Kampung Jelor, di sini, ditemui jam 5.35 petang kelmarin, selepas tidak pulang ke rumah sejak jam 10 malam, Ahad lalu.

Hashim Ismail, 46, yang juga sepupu Mohd Suhaimi berkata, mangsa sebelum itu dipercayai ke lagun berkenaan untuk menyuluh udang seorang diri.

“Dia keluar sejak petang lagi, namun isterinya (Wan Sarimah Wan Awang, 46) memaklumkan dia tidak pulang menyebabkan kami mencarinya mulai jam 7 pagi keesokannya.

“Saya meminjam bot rakan untuk mencari mangsa di sekitar lagun, namun gagal walaupun selepas empat jam mencarinya.

“Kami turut mengikut pasukan bomba dan penyelamat untuk bantu usaha mencari mulai jam 3 petang,” katanya.

Hashim berkata, tidak menolak kemungkinan sepupunya mengalami kekejangan otot ketika menyuluh udang di situ sebelum tergelincir dan lemas.

Sebelum ini, Lagun Semerak ditutup daripada kunjungan orang ramai pada 3 September 2011 selepas mencatatkan angka kematian akibat lemas yang tinggi dengan Mohd Suhaimi adalah korban ke-29.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

myMetro 25 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment