February 25, 2015

'Tak pernah tinggalkan arwah'

KOTA BHARU - “Saya tidak pernah tinggalkan arwah ayah semasa dia dirawat di hospital selama 128 hari,” luah Pegawai Keselamatan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani.

Arwah bapanya yang juga Bekas Ketua Platun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Abdul Ghani Latiff, 68, meninggal dunia selepas mengalami masalah pernafasan akibat kecederaan pada paru-paru, Rabu lalu.

Walaupun sehari, katanya,  dia tidak sanggup meninggalkan arwah bapanya menanggung kesakitan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Saya dengan arwah bapa baik seperti sahabat. Selama hayatnya, segala cerita kami kongsi bersama walaupun pernah tinggal di Shah Alam, setiap hari kami akan berhubung melalui telefon.

“Sebab itulah, apabila arwah dimasukkan ke wad dan ICU, saya tinggalkan segala aktiviti harian, saya jaganya betul-betul,” katanya kepada Sinar Harian semasa ziarah Naib Presiden Kafa yang juga  Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Muhammad Nasir Hamzah di Kampung Padang Bongor, di sini, semalam.

Turut bersama Mohd Fared di kediaman tersebut, ibunya, Khadijah Mat Ali, 62.

Sebak menceritakan beberapa pesanan Allahyarham bapanya, beliau berkata, ia akan diingati dan sedaya upaya menunaikan amanat tersebut.

“Arwah ayah pesan jangan putuskan persahabatan dengan kawan-kawannya, jaga ibu dan  adik-beradik kami yang lain.

“”Arwah juga minta teruskan kerja amal termasuk dalam Persatuan Pengguna Islam,” katanya yang juga Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Kelantan.

Sinar Harian 23 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment