January 24, 2015

Nahas 2 kenderaan: 1 maut, 1 parah


Keadaan lori dan kereta yang terlibat kemalangan yang mengakibatkan penumpang kereta maut di tempat kejadian.

BATU PAHAT -  Seorang lelaki berumur 30-an maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta Perodua Kelisa dan lori, jam 9.49 pagi semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 15, Jalan Yong Peng-Parit Sulong berhampiran Kampung Mohd Nor, identiti mangsa maut masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori gagal mengawal kenderaan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta.

“Lori dari arah Yong Peng yang gagal dikawal memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dari arah Parit Sulong.

“Akibat pertembungan tersebut, penumpang kereta yang tersepit maut di tempat kejadian, pemandu cedera parah manakala pemandu lori hanya cedera ringan.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta berasal dari Labis, Segamat, tetapi maklumat penumpang tidak dapat dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri ditemui.

Katanya, sepasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Yong Peng mengambil masa 30 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan dan berdasarkan maklumat saksi, ketika kemalangan berlaku, jalan berkenaan tidak sibuk,” katanya.

Sinar Harian 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment