January 24, 2015

Sangka tidur, rupanya mati


Mangsa disedari sudah tidak bernyawa oleh kakaknya di rumah sewa Kampung Batu Belang, dekat sini, petang kelmarin. Gambar kecil: Pandiaraja.

TAMPIN – Seorang pemuda di Kampung Batu Belang, di sini, ditemui mati oleh kakaknya yang pada mulanya menyangka mangsa masih tidur.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, kakak mangsa, A. Papay, 35, terkejut apabila mendapati adiknya, A. Pandiaraja, 25, yang tertidur ketika menonton televisyen sudah tidak bernyawa.

Menurut abang saudara mangsa, K. Sankaran, 45, mangsa baru sahaja menetap di rumah kakaknya malam Rabu lalu.

"Selepas makan tengahari, mereka menonton televisyen bersama-sama. Namun kakaknya pelik apabila mendapati mangsa tidur dalam keadaan duduk dan ingin mengejutkan adiknya.

"Bagaimanapun, mangsa didapati sudah tidak bernyawa. Jika diikutkan, Pandiaraja tidak mempunyai sebarang penyakit” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa ialah usus gastrik pecah dalam perut," katanya.

Sinar Harian 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment