January 28, 2015

‘Curahan kasihku...’


MAWAR (kiri) dan Maimunah.

Segamat: “Walaupun bukan darah daging saya, tetapi tidak kisah menjaganya dan menganggapnya sebagai ibu sendiri,” kata Mawar Hussain, 42, yang menjaga seorang wanita warga emas Maimunah Yahya, 86, yang hidup sebatang kara di Kampung Gelang Chin-Chin, di sini, semalam.

Menurutnya, dia kasihan melihat keadaan Maimunah yang tiada arah tujuan selepas kematian suaminya kira-kira 10 tahun lalu.

Katanya, dia sudah lama mengenali wanita itu memandangkan rumah mereka terletak kira-kira 500 meter dan ketika zaman kanak-kanak, dia kerap bermain di laman rumah warga emas itu.

“Suami wanita itu (Jaafar Mohamad) meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu akibat sakit tua dan sejak itu, warga emas itu tinggal seorang diri.

“Sejak itu kehidupan Maimunah yang mengalami masalah pendengaran dan menghidap pelbagai penyakit kronik tidak tentu arah menyebabkan saya mengajaknya tinggal bersama sejak setahun lalu selepas mendapat persetujuan suami Azman Basir, 48.

“Malah, empat anak saya juga gembira apabila warga emas itu tinggal bersama kami kerana mereka mendapat seorang lagi nenek,” katanya.

Menurutnya, warga emas itu masih berulang-alik ke rumah lamanya yang masih ada untuk melihat ayam dan itik yang dipeliharanya.

“Bagaimanapun, kami hanya membenarkannya berada di rumah itu pada waktu siang kerana bimbangkan keselamatannya ketika malam.

“Dia pernah bergelut dengan dua ular sawa yang memasuki kediamannya sejak tinggal berseorangan beberapa bulan lalu, sebab itu saya bimbangkan keselamatannya.

“Saya juga ada membuat permohonan kepada pihak berkaitan supaya dibina sebuah rumah untuk Maimunah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tanah bersebelahan rumah kami.

“Saya tidak pernah berasa beban menjaganya, malah saya turut menjaga ibu sendiri (Jaharah Hussain, 63),” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Gelang Chin Chin Salleh Mohamad, 56, berkata, pihaknya sudah mengajukan permohonan pembinaan rumah PPRT untuk Maimunah kepada pihak berkaitan dan berharap ia dapat dipercepatkan.

myMetro 28 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment