December 18, 2014

Terkapai-kapai sebelum hanyut

BATU GAJAH – Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kinta berhampiran Kampung Bakap Baru, di sini, semalam.

Menurut saksi, ketika kejadian pada jam 10 pagi itu, Hasyim Hamzah, 62, dipercayai hanyut selepas cuba mengambil sebuah tong di tebing sungai terbabit.

‘Saya nampak ada tangan terkapai-kapai sebelum tenggelam dalam sungai itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Sementara itu, anak mangsa, Muhd Ikmal Hasyim, 22, berkata, ahli keluarganya terkejut dengan insiden itu kerana bapanya sudah biasa dengan keadaan laluan dan sungai itu.

“Ayah seorang yang lasak dan tahu selok-belok kawasan ini kerana setiap hari dia lalu di situ.

"Tetapi tak sangka pula hari ini (semalam), dia berani turun ke sungai,” katanya.

Muhd Ikmal yang dimaklumkan kejadian itu pada jam 11 pagi oleh penduduk kampung berharap ayahnya segera ditemui namun reda dengan kemungkinan yang berlaku.

“Tadi saya dan abang turun ke sungai untuk cari, tapi nasib tak menyebelahi kami, ada penduduk yang memancing di sungai ni nampak ayah saya sudah hanyut dan tenggelam, sebelum mereka segera buat laporan polis,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mohd Shakir Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan sekitar jam 6 petang semalam dengan menggunakan tiga bot.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat tertumpu di kawasan benteng pokok dan kayu yang menjadi lokasi timbunan sampah.

“Berdasarkan keterangan saksi, mereka nampak mangsa hanyut selepas gagal mengambil tong di tepi sungai ini,” katanya.

Setakat jam 7 petang, semalam mangsa belum ditemui dan operasi mencari menyelamatkan mangsa masih diteruskan.

Sinar Harian 18 Dis 2014


Mayat mangsa lemas akhirnya ditemui

Mayat mangsa lemas ditemui terapung di lombong Morib 1, Malim Nawar, semalam.

IPOH - Setelah lebih seminggu, mayat mangsa lemas, Hasyim Hamzah, 62,  ditemui terapung di lombong Morib 1, Malim Nawar, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohamad Yamin Naib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis jam 11.22 pagi yang ternampak mayat terapung di lombong berkenaan.

Menurutnya, sepasukan enam anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian dengan menggunakan bot untuk mengambil mayat berkenaan.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat seorang warga emas yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kinta di Kampung Bakap Baru dekat Batu Gajah, Rabu lalu, buntu biarpun keluasan pencarian ditambah hingga memasuki Sungai Perak.

Anggota menggunakan bot dari balai-balai berkenaan telah menyusur sepanjang sungai bermula dari Batu Gajah hingga ke Teluk Intan.

Sinar Harian 26 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment