December 18, 2014

Kanak-kanak perempuan lemas terlucut dukungan ibu

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan dipercayai lemas selepas terlucut dari dukungan ibunya ketika mengharungi banjir di Kampung Sepertang, Telekong Kuala Krai di sini pagi tadi.

Mangsa Nur Adriana Adila Asrul Afendi, dipercayai dibawa arus deras ketika ibunya berusia 34 tahun, bersama adik beradiknya berusia 16, 7 dan 8 sedang meredah banjir.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kelima-lima beranak itu dipercayai sedang menyelamatkan diri ketika melalui kawasan terbabit.

"Sementara itu di Kubang Kerian, seorang lelaki, Baharom Mohamad  berusia 25 tahun maut selepas dihanyutkan arus deras kira-kira jam 11 pagi tadi.

"Mayatnya ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Ghafar dan dipercayai mangsa mengalami penyakit sawan," katanya

Mazlan berkata, setakat ini Kelantan mencatatkan dua kes kematian menjelang musim banjir pada tahun ini.

Sinar Harian 18 Dis 2014


Bayi lemas terlepas dukungan

ASROL Afendi dan iserinya sebak mengenangkan nasib Nor Adriana 

Kuala Krai: “Arus yang sangat deras meranapkan bumbung rumah tempat kami berlindung sekali gus menghanyutkan kami.

“Ketika itulah bayi saya terlepas dukungan,” kata Suhana Muhamad Abdul Ghani, 34, ibu malang yang kehilangan bayi berusia 20 bulan dipercayai lemas akibat banjir.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, Nor Adriana Adila Asrol Afendi berada dalam dukungan Suhana ketika dia bersama lima anaknya dan ibu bapanya mahu menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Kuala Bertam, di sini, dinaiki air.

Katanya, ketika menyedari air naik hampir tiga meter, mereka sekeluarga mengambil keputusan memanjat bumbung rumah dan berlindung di situ sehingga menunggu bantuan tiba.

Bagaimanapun, kejadian malang berlaku apabila arus deras meranapkan rumah keluarga berkenaan dan turut menghanyutkan mereka.

“Suami tiada di rumah ketika itu kerana bekerja, malah kami pun tidak sempat ke tempat lain dan hanya memikirkan bumbung rumah kerana air naik dengan cepat.

“Dalam keadaan hanyut dibawa arus deras itu, anak bongsu dalam dukungan terlepas. Saya diselamatkan ibu yang menarik tangan saya untuk berpaut pada dahan pokok rambutan.

“Lima anak yang lain juga berpaut pada dahan sama sebelum kami diselamatkan penduduk kampung lapan jam kemudian,” katanya ketika ditemui di rumah saudaranya di Batu Jong, di sini, semalam.

Menurut Suhana, akibat kejadian itu, anak ketiganya Nor Erini Nazirah, 9, patah tangan kanan akibat tersepit pada dahan pokok.

Katanya, anak sulungnya Ayuni Natasha, 16, menghubungi suaminya, Asrol Afendi Yusof, 40, bagi memaklumkan kejadian itu.

“Mujur telefon bimbitnya masih boleh digunakan. Suami menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” katanya yang masih sedih mengenang nasib anak bongsunya.

Sementara itu, Asrol Afendi berkata, usaha mencari dan menyelamatkan Nor Adriana Adila diteruskan pihak berkuasa.

myMetro 19 Dis 2014


‘Kami berdoa biarlah jasadnya ditemui’

Kota Bharu: “Kami sekeluarga berdoa setiap hari supaya jasad Adriana ditemui segera. Saya sedar dia mungkin sudah tiada, tapi biarlah jasadnya ditemui,” kata Suhana Muhammad Abdul Ghani, 34, ibu kepada Nor Adriana Adila Asrol Afendi yang menjadi mangsa kedua banjir di Kelantan.

Bayi berusia 20 bulan itu hanyut dibawa arus deras selepas terlepas daripada dukungan Suhana ketika mereka sekeluarga cuba menyelamatkan diri jam 5 petang, Rabu lalu di Kampung Pertang, Kuala Krai.

Sehingga kini, jasad anak bongsu daripada enam beradik itu belum ditemui menyebabkan Suhana sekeluarga bersedih.

Suhana mengakui peluang menemui anaknya dalam keadaan bernyawa amat tipis selepas hilang selama empat hari namun sangat berharap Tuhan menemukan jasadnya

“Saya reda dengan takdir ini cuma saya berharap jasad Adriana ditemui kerana sekurang-kurangnya kami dapat kebumikan dengan baik.

“Ada juga kubur dia untuk kami ziarah nanti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya yang masih trauma dengan kejadian berlaku apatah lagi seorang lagi anaknya Nor Erini Nazirah, 9, turut patah tangan dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

Katanya, jika diikutkan dia tidak mampu menanggung semua kedukaan itu namun terpaksa kuatkan diri demi lima anak yang lain.

“Apa yang berlaku sudah suratan,” katanya.

myMetro 22 Dis 2014



0 comments:

Post a Comment