December 18, 2014

Pensyarah Unimap maut kemalangan

Keadaan mangsa yang berlumuran darah selepas terlibat kemalangan ngeri, pagi semalam. 

ARAU - Seorang pensyarah kanan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) maut dalam kemalangan jalan raya di jalan Gial-Guar Nangka di sini, pagi semalam.

Mangsa, Zulkifli Abdul Rashid, 48, merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kampus Pauh Putra, Ulu Pauh, maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh lori dari arah bertentangan sebelum terbabas lalu melanggar pokok.

Ketua Balai Bomba Arau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Kifli Hamid berkata, pihaknya yang dikerahkan ke tempat kejadian terpaksa menggunakan alat pemotong besi untuk mengeluarkan mayat mangsa.

"Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan hanya cedera ringan dan dikeluarkan dari lori dengan bantuan orang awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, kejadian berlaku kira kira jam 10.50 pagi di Jalan Gial-Guar Nangka melibatkan kereta dan lori.

Menurutnya, mangsa yang memandu kereta dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu lori mengalami kecederaan ringan.

"Kedua-dua kenderaan kemudiannya terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sinar Harian 17 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment