December 18, 2014

Ahli Geng Mamak ditembak mati

Ahli Geng Mamak tumpas

IPOH 17 Dis. – Setelah hampir setengah tahun diburu kerana terlibat dalam kejadian melanggar seorang anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) Balai Polis Kuala Kurau pada Mei lalu, seorang lelaki yang merupakan ahli kumpulan penjenayah Geng Mamak akhirnya mati ditembak semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, suspek, Muhammad Asharaf Jamaluddin, 25, mati di tempat kejadian selepas kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah rumah di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, semasa kejadian, pihak polis telah ditembak bertalu-talu oleh suspek dan bagi mempertahankan diri tembakan balas terpaksa dilepaskan untuk menumpaskan lelaki itu.

Katanya, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau iaitu samun di Kamunting dan dikehendaki polis berhubung kes bunuh melibatkan anggota URB, Lans Koperal Mohd. Azuan Abdullah, 25, Mei lalu.

“Pemeriksaan di rumah tersebut menemukan pelbagai barang termasuk sepucuk pistol Colt .45 semi auto, beberapa butir peluru .45, plat kenderaan, senjata tajam, empat jaket berlambang polis, gari, lapan pasang sarung tangan dan sejumlah kunci kenderaan mewah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, serbuan di Kuala Kangsar itu susulan tertangkapnya dua lagi ahli Geng Mamak iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun dan teman wanitanya berusia 33 tahun pada 6 Disember lalu di Taman Sri Desa, Kampung Tawas dekat sini.

Katanya, suspek lelaki itu mempunyai 25 rekod kesalahan lampau dan enam rekod dikehendaki polis manakala wanita tersebut tiada rekod kesalahan lampau. Kedua-duanya positif mengambil dadah.

“Dalam serbuan itu, selain merampas pelbagai plat kenderaan dan peralatan pecah rumah, kita turut menyita dua buah kenderaan jenis Proton Perdana dan Honda Civic di mana kedua-duanya bersangkut kes jenayah di Kota Bharu dan Taiping.

“Selain itu, pada 14 Disember lalu kira-kira pukul 11.30 pagi, polis telah berjaya menangkap seorang lagi ahli kumpulan itu iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun di Lenggong. Suspek ini mempunyai 20 rekod kesalahan lampau dan lapan rekod dikehendaki polis,” katanya.

Mohd. Dzuraidi berkata, pihaknya juga sedang mengesan abang kepada suspek berusia 50 tahun, Mohd. Sharif Abu Bakar, 52, dan anak saudaranya, Nazrulhizam Mohamad Ramli, 35, untuk membantu siasatan.

“Mohd. Sharif disyaki sebagai perancang utama kumpulan ini. Kerjasama orang ramai diperlukan bagi mengesan kedua-dua lelaki ini untuk membantu siasatan. Kesemua mereka yang ditahan dan berjaya ditumpaskan ini merupakan ahli yang sangat aktif.

“Sejak tiga bulan lalu, Geng Mamak ini telah melakukan pelbagai jenayah terancang seperti samun, pecah dan curi kenderaan mewah. Sehingga Disember ini, dipercayai sebanyak 24 kes dilakukan kumpulan ini di beberapa kawasan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kelantan,” ujarnya.

Utusan 18 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment