December 18, 2014

Mayat remaja lelaki dipercayai dibunuh

CAMERON HIGHLANDS - Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui di tepi sungai di Batu 49, Kuala Terla, Kampung Raja di sini, tengah hari kelmarin.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat berusia lingkungan 20 an itu ditemui tidak berbaju dan berseluar jean hitam panjang dipercayai dibunuh.

“Polis menerima panggilan telefon dari seorang lelaki Cina kira-kira jam 12.40 tengah hari kelmarin yang menyatakan ada terjumpa mayat lelaki di tepi sungai tersebut.

“Bertindak atas maklumat, polis kemudiannya ke lokasi berkenaan dan telah menemui mayat lelaki itu dalam keadaan terbaring terlentang dicelah batu sungai,” katanya di sini, semalam.

Wan Mohd Zahari berkata, terdapat kesan cedera dipercayai terkena objek tajam di bahagian leher kiri, dahi dan koyakan di bahagian pipi kanan.

Menurutnya, selain itu terdapat juga kesan calar di bahagian dada mangsa.

Beliau berkata, mayat terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Cameron Highlands untuk bedah siasat dengan dibantu pihak forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

“Kami meminta mana-mana saksi bebas untuk tampil ke hadapan membantu siasatan.

“Selain itu, jika ada ahli keluarga yang hilang dalam masa terdekat ini serta mempunyai deskripsi tersebut sila tampil ke IPD Cameron Highlands,” katanya.

Sinar Harian 17 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment