November 20, 2014

Wanita cedera ditampar pemandu teksi samseng

BIBIR mangsa cedera selepas ditampar pemandu teksi di Jalan Angsoka, Kuala Lumpur Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Hanya kerana enggan mengundurkan kereta yang dipandunya, seorang wanita luka pada bahagian bibir selepas ditampar seorang pemandu teksi di Jalan Angsoka menghala Jalan Raja Chulan di sini Isnin lalu.

Satu sumber memberitahu, dalam kejadian pukul 7.40 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun dari Bandar Manjalara melalui Jalan Angkosa sebelum tersangkut di jalan dua hala itu berikutan orang ramai meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.

Katanya, ketika melalui jalan itu tiba-tiba sebuah teksi datang dari arah bertentangan dan terus membunyikan hon sebelum mengarahkan mangsa berundur. Akibat tidak dipedulikan mangsa, pemandu teksi berkenaan bertindak melanggar bahagian hadapan kereta mangsa sebelum keluar dan menampar bahagian kanan pipi mangsa.

Kosmo 20 Nov 2014


Pemandu teksi didenda kerana cederakan wanita

KUALA LUMPUR  -  Seorang pemandu teksi didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang pekerja wanita syarikat insurans tiga hari lepas.

Majistret Nur A'Minatul Mardiah Mohd Nor turut memerintahkan Chong Kim Fah, 46, di penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

"Walaupun kecederaan yang dialami adalah kecil, tertuduh telah bertindak menggunakan kekerasan fizikal ketika menyelesaikan masalah. Faktor kepentingan awam harus diberi keutamaan," katanya.

Chong didakwa mencederakan Tan Yun Ceat, 26, dengan menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap wanita itu di Jalan Angsoka off Jalan Nagasari, Dang Wangi pada 7.40 pagi, 17 November lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, mangsa luka di bibir dan lebam di pipi kanan akibat ditampar.

Ketika rayuan, peguam Khairul Amin Abdullah yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja kerana ia kesalahan pertama dan anak guamnya perlu menjaga ibunya berusia 74 tahun serta menghidap sakit tua.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran memandangkan kes keganasan di jalan raya semakin berleluasa dan kerap berlaku.

"Tambahan pula kes ini telah dilaporkan di media massa dan hangat diperkatakan di media sosial kini.

"Apakah  pandangan masyarakat jika hukuman terlalu ringan diberikan dan ini merupakan peluang bagi mahkamah memberi hukuman sebagai  pengajaran kepada tertuduh dan pengajaran kepada masyarakat supaya jenayah keganasan di jalan raya dihentikan," katanya. - Bernama

20 November 2014

0 comments:

Post a Comment