November 22, 2014

Tinggal emak macam buang kucing tepi jalan

KUALA NERANG - Seorang ibu tunggal dari Anak Bukit sedih dengan tindakan anaknya yang sanggup meninggalkannya di tepi jalan rumah adiknya di Kampung Padang Nyior, dekat sini, semalam.

Wanita ibu tunggal, hanya mahu dikenali sebagai Milah, 74, berkata, apabila sampai di rumah adiknya itu, anaknya mengeluarkan beg pakaian serta barangannya dari kereta dan terus beredar.

"Saya sedih kerana mereka buang saya macam anak kucing di tepi jalan. Saya sudah 20 tahun tak jumpa dengan adik. Nasib baik rumah itu milik adik saya sendiri.

"Jika tidak, tak tahulah ke mana saya nak pergi.

"Sepatutnya mereka perlu berjumpa dengan adik saya dan memaklumkan tujuan mereka menghantar saya ke rumah itu,” katanya ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.

Menurutnya, dia pernah tinggal bersama anak bongsunya itu kira-kira tiga bulan lalu, namun kehadirannya itu kurang disenangi.

"Saya tak tahu di mana lagi saya nak tinggal kerana empat-empat anak tak mahu saya tinggal dengan mereka. Ada yang terima, tetapi menantu pula tak suka," katanya.

Sementara itu, adik Milah, Sulaiman, 71, berkata, dia kecewa dengan sikap anak saudaranya yang membuang ibu mereka di tepi jalan.

“Saya terkejut dengan kedatangan Milah. Selepas mendengar rintihannya, saya terharu dan tetap akan menjaganya kerana dia adalah dari darah daging saya.

“Atas permintaan kakak saya, saya akan hantar dia ke pondok untuk belajar agama di Bukit Pinang,” katanya.

Sinar Harian 22 Nov 2014


Anak ‘buang’ ibu kerana selisih faham

Amilah mendakwa dibuang anaknya selepas ditinggalkan di rumah adiknya di Kampung Padang Nyior, Padang Terap

PADANG TERAP 21 Nov. – Hanya kerana berselisih faham, seorang wanita berusia 38 tahun bertindak ‘membuang’ ibunya yang berusia 74 tahun dengan meninggalkan warga emas itu di Kampung Padang Nyior, di sini semalam.

Ibu tua yang mahu dikenali sebagai Amilah mendakwa, anak bongsunya itu meninggalkannya di rumah adik lelakinya di kampung tersebut kira-kira pukul 7.30 malam.

“Saya tinggal bersama anak bongsu yang merupakan seorang suri rumah di Alor Setar sejak tiga bulan lalu.

“Tergamak anak saya tinggalkan saya begitu sahaja di hadapan rumah adik saya di Kuala Nerang, saya sedih kerana mereka sudah tidak mahu menjaga saya lagi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang hari ini.

Menurut Amilah, anaknya itu menuduh dia menjaja perihal keluarga mereka kepada orang ramai sedangkan dia langsung tidak melakukan perkara tersebut.

“Saya tidak sangka anak bongsu saya akan bertindak begini, sebelum ini tiga lagi anak saya juga tidak mahu menjaga saya,” ujarnya.

Tambahnya, dia tidak mahu lagi pulang ke pangkuan anak-anaknya walaupun dipujuk dan bercadang untuk tinggal di pondok pengajian Islam di Bukit Pinang, dekat sini.

“Sebelum ini saya memang tinggal di pondok itu tetapi terpaksa menumpang di rumah anak-anak kerana kaki patah akibat terjatuh,” jelasnya.

Dalam pada itu, adik lelaki Amilah yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman berkata, dia terkejut apabila mendapati kakaknya memberi salam di hadapan rumah dengan sebuah beg baju dan barangan lain yang dimasukkan di dalam plastik hitam.

“Dia sudah tidak mengecam wajah saya kerana kami sudah lebih 20 tahun tidak berjumpa dan saya terkejut apabila dia beritahu anaknya meninggalkannya di situ,” katanya.

Tambah Sulaiman, dia akan menghantar kakaknya itu ke pondok pengajian Islam di Bukit Pinang seperti yang diminta.

Utusan 22 Nov 2014


0 comments:

Post a Comment