November 23, 2014

Tiga maut dalam perut bumi

SEORANG pekerja lombong yang cedera parah ekoran letupan di sebuah lombong arang batu di Selantik, Pantu dirawat di Hospital Sri Aman, Sarawak semalam.


3 mangsa yang sedang dirawat di Hospital Sri Aman


LOKASI KEJADIAN: Pihak polis mengawal pintu masuk ke terowong tersebut.


Salah seorang mangsa yang dipindahkan ke unit kecemasan Hospital Umum Sarawak dari Hospital Serian


CEDERA: Pekerja-pekerja asing menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sri Aman.


CEDERA: Salah seorang mangsa yang menunggu untuk dirawat di Hospital Sri Aman 


MAUT: Tiga pekerja asing yang terkorban dibawa ke Hospital Sri Aman menggunakan kenderaan persendirian syarikat tersebut.


PARAH: Pekerja warganegara Korea Utara yang terpaksa diberi alat bantuan penafasan, tiba di HUS semalam.


SEBAHAGIAN daripada 11 mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Serian. - Foto ihsan pembaca

SRI AMAN – Tiga pelombong maut dan 13 parah sementara 13 yang lain cedera ringan selepas berlaku letupan di dalam terowong sedalam 69 meter di sebuah lombong arang batu di Selantik, Pantu di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, tiga mangsa terkorban ialah Pang Chung Hyok, 29, dari Korea Utara, Tun Tun Win, 36, dari Myanmar dan Kardianto, 38 dari Indonesia yang merupakan pekerja lelaki syarikat perlombongan Silantic Resourses Sdn. Bhd.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, ketiga-tiga mayat itu telah dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Menurutnya, terdapat 29 orang pekerja berusia sekitar 20-an hingga lewat 30-an berada di dalam terowong tersebut dengan jarak pintu masuk adalah kira-kira 451 meter ketika kejadian berlaku.

“Siasatan awal mendapati kejadian letupan berpunca daripada percikan api sebuah kipas angin yang rosak menyebabkan kebakaran gas sebelum berlaku letupan kuat hingga mengakibatkan mangsa melecur selepas terkena letupan tersebut.

Kosmo 23 Nov 2014


Mangsa letupan lombong arang batu dikenal pasti

KUCHING - Pihak polis telah mengenal pasti identiti tiga mangsa yang maut dalam kejadian letupan lombong arang batu di Sarawak semalam.

Mereka dikenali sebagai Pang Chung Hyok, 29, warga Korea Utara, warga Myanmar, Tun Tun Win, 36, dan warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Kardianto, 38,.

Letupan kira-kira 9 pagi itu turut mencederakan 29 pekerja lain di lombong yang terletak berdekatan Pantu, Sri Aman kira-kira 130 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohamad berkata, mangsa maut apabila lombong yang dipenuhi gas itu meletup bermula daripada kejadian litar pintas sebuah kipas.

"Siasatan setakat ini mendapati selain tiga yang meninggal, 29 lagi pekerja tercedera di dalam terowong sepanjang 69 meter itu," katanya.

Menurut Mat Jusoh, daripada jumlah yang tercedera, sembilan merupakan warga Indonesia, enam (Myanmar) lima (China), dua (Bangladesh) dan tujuh (Korea Utara).

Kata Mat Jusoh, 25 orang daripada yang tercedera mengalami kecederaan parah dan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak sementara empat yang lain dirawat di Hospital Sri Aman.

Beliau berkata, lombong berkenaan telah beroperasi kira-kira lapan tahun lalu dan kini mempunyai 119 pekerja yang kebanyakanya warga asing.

Insiden serupa turut ber­laku di Abok di Pantu, Sri Aman pada 30 Mac 2012 yang mengorbankan empat warganegara China.

Sumber Bernama dan Utusan Borneo 23 Nov 2014


Percikan api kipas angin

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memasuki pintu masuk lombong arang batu yang meletup, semalam.

Sri Aman: Percikan api dari kipas angin yang rosak dipercayai punca letupan dan kebakaran gas dalam terowong Lombong Arang Batu Silantek, Pantu dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohamad berkata, percikan api itu berlaku di kawasan 451.6 meter dari pintu masuk dan berlaku letupan sebelum api yang terhasil daripada gas menyambar sehingga jarak 69 meter di dalam terowong.

Katanya, tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Tun Tun Win , 36 dari Myanmar, Pang Chung Hyok, 29, dari Korea Utara dan Kardianto, 38, dari Indonesia.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat, manakala yang parah dan cedera di hantar ke Hospital Umum Sarawak, Hospital Sri Aman dan Hospital Serian, selain ada yang mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Pantu sebagai pesakit luar.

“Kejadian ini kali kedua berlaku dalam tempoh tiga tahun dan yang terakhir pada 30 Mac 2011 di Lombong Arang Batu Lucky Hill, Abok, Pantu, dekat sini, yang mengorbankan tiga pekerja lombong warga China,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.32 pagi.

Katanya, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman bersama enam anggota segera ke tempat kejadian.

“Pegawai penyiasat masih menjalankan tugas penyiasatan di tempat kejadian dan memastikan tiada kesan sampingan yang timbul dari letupan terbabit,” katanya.

myMetro 23 Nov 2014


Suasana pilu di hospital

Kuching: Pekarangan wad kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Sri Aman dan Hospital Serian diselubungi suasana pilu dan ramai bersimpati apabila kebanyakan mangsa letupan terowong Lombong Arang Batu Silantek, Pantu, Sri Aman, yang tiba di hospital berkenaan melecur teruk, malah ada yang duduk menahan kesakitan.

Selepas kejadian berlaku, 16 mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman dan lapan lagi ke Hospital Serian secara berperingkat-peringkat seawal jam 10 hingga 11 pagi, manakala dua mangsa mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Pantu.

Tiga mangsa yang maut diserahkan ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat.

Menjelang tengah hari, 12 mangsa yang parah dari Hospital Serian dan Sri Aman dipindahkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut sehingga jam 4 petang, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang dihantar ke HUS kebanyakannya melecur hampir 90 peratus seluruh badan dan memerlukan rawatan rapi.

myMetro 23 Nov 2014


‘Nasib baik saya ada di atas’

Sri Aman: “Ketika itu gelap, saya berada di bahagian paling atas apabila melihat rakan lain keluar dari terowong dengan tubuh mereka melecur,” kata pekerja lombong arang batu dikenali sebagai Sutaman, 38, yang terselamat dalam kejadian letupan lombong arang batu dekat Silantek, Pantu, di sini, kelmarin.

Sutaman dari Indonesia berkata, sebelum kejadian pada jam 7 pagi, semua pekerja memulakan rutin biasa memasuki lombong itu.

“Kira-kira dua jam kemudian, kami terdengar letupan dan seorang demi seorang keluar dari terowong dalam keadaan badan melecur.

“Saya terselamat kerana berada di bahagian atas dan memaklumkan kejadian itu kepada penyelia. Ketika kejadian, ramai pekerja dalam lombong, sukar membayangkan musibah mereka lalui ketika itu,” katanya yang bekerja di lombong itu sejak empat tahun lalu.

Berikutan kejadian itu, Sutaman dia trauma dan enggan lagi bekerja di lombong.

“Saya mahu pulang ke kampung halaman kerana masih terbayang kejadian itu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Sri Aman, semalam.

myMetro 24 Nov 2014


Gas metana, kipas punca letupan

KUCHING – Pasukan bomba dan penyelamat mengesahkan gas meta­na dan kerosakan pendawaian pada kipas merupakan punca berlaku letupan di lombong arang batu di Selantik, Pantu di Sri Aman kelmarin.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa terbunuh manakala 40 cedera.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor His­ham Mohammad berkata, pendawaian pada sebuah kipas yang dipasang di terowong terbabit mengalami masalah sebelum menyebabkan berlaku percikan api dan keadaan diburukkan lagi apabila terowong itu mengandungi gas metana.

“Pemeriksaan oleh Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) mendapati terdapat kira-kira 20 peratus gas metana di terowong tersebut semasa kejadian.

“Kehadiran gas metana itu pula berpunca daripada bahan organik iaitu arang batu di dalam lombong tersebut,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Kosmo 24 Nov 2014


Gas metana penuhi terowong

Kuching: Gas metana yang dihasilkan oleh arang batu, dikenal pasti sebagai punca berlakunya letusan dalam terowong lombong arang batu di Silantek, Pantu, di sini, sehingga mengorbankan tiga pekerja warga asing, kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohamad berkata, siasatan mendapati kandungan gas dalam terowong itu terlalu tinggi hingga menyebabkan ia terbakar akibat percikan api.

“Arang batu adalah bahan organik yang menghasilkan gas metana dan kejadian dipercayai berlaku apabila gas memenuhi terowong ketika percikan berlaku.

“Kejadian itu sebenarnya bukan letupan, sebaliknya berlaku akibat kebakaran gas metana yang dibebaskan arang batu,” katanya.

Nor Hisham berkata, pemeriksaan anggotanya semalam mendapati kandungan gas metana dalam terowong masih tinggi sehingga menyukarkan pemeriksaan lanjut dijalankan.

myMetro 24 Nov 2014


Bedah siasat tiga mayat

Sri Aman: Tiga mayat mangsa letusan di lombong arang batu di Silantek, Pantu, di sini, dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching untuk menjalani bedah siasat, semalam.

Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohammad berkata, ketiga-tiga mayat terbabit iaitu warga Myanmar, Tun Tun Win, 36, Pang Chung Hyok, 29, (Korea Utara) dan Kardianto, 38, (Indonesia) dibawa dari Hospital Sri Aman (HSA), di sini, pada jam 11.30 pagi.

Beliau berkata, sebelum ini ketiga-tiga mayat itu ditempatkan di HSA untuk menjalani ujian imbasan sebelum dipindahkan ke HUS.

“Semua mangsa dibawa menggunakan trak polis dan tiba di HUS empat jam kemudian. Mereka akan dibedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa.

“Sebaik selesai (bedah siasat), semua mayat itu diserahkan kepada kedutaan masing-masing untuk dibawa pulang ke negara asal,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mat Jusoh berkata, seramai 30 lagi mangsa yang cedera masih dirawat di beberapa hospital iaitu HSA, HUS, Pusat Perubatan Borneo dan Pusat Perubatan Normah.

“Dua mangsa dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, hari ini (semalam),” katanya.

Kelmarin, Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohamad berkata, gas metana terhasil daripada arang batu dikenal pasti sebagai punca berlakunya letusan dalam terowong lombong berkenaan dan mengorbankan tiga pekerja warga asing.

Beliau berkata, siasatan mendapati kandungan gas dalam terowong itu terlalu tinggi sebelum percikan api keluar sehingga menyebabkan letusan berlaku.

“Arang batu adalah bahan organik menghasilkan gas metana dan kejadian itu dipercayai berlaku apabila gas memenuhi terowong ketika percikan terjadi.

“Kejadian itu sebenarnya bukan letupan, sebaliknya berlaku akibat letusan api terhasil daripada gas metana yang dibebaskan oleh arang batu,” katanya.

Nor Hisham berkata, berikutan kejadian itu, lombong berkenaan diarah tutup selama tiga hari bermula kelmarin bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan terperinci.

myMetro 25 Nov 2014


Seorang lagi maut

PENERBANGAN IHSAN: Salah seorang mangsa diusung masuk ke dalam pesawat TUDM untuk diterbangkan ke Semenanjung Malaysia.

Mangsa keempat insiden di Selantik meninggal dunia di HUS, enam lagi diterbang ke Semenanjung 

KUCHING: Angka korban insiden letupan lombong arang batu di Selantik, Sri Aman meningkat kepada empat apabila seorang lagi mangsa menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS), malam tadi.

Mangsa warga Indonesia disahkan meninggal dunia sekitar jam 7 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan yang mengesahkan perkara itu memberitahu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di otak.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan identiti mangsa sehingga keluarganya dimaklumkan oleh konsulat terlibat.

“Butir (identiti) tak boleh ‘release’ (didedahkan) sehingga konsul maklum kepada keluarga,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Terdahulu semalam, enam lagi mangsa yang melecur teruk dalam insiden itu diterbangkan ke beberapa hospital di Semenanjung Malaysia menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dr Zulkifli berkata, kesemua mangsa itu adalah antara 21 pelombong yang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak Sabtu lalu.

“Kita terpaksa merujuk mereka ke hospital negeri lain memandangkan kita tidak mempunyai kemudahan pakar yang mencukupi dalam merawat mangsa lecur di negeri ini,” ujarnya.

Dua daripada mereka dari Korea Utara dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyyah di Alor Setar, Kedah.

Manakala, warga Indonesia diterbangkan ke Hospital Sungai Buloh di Selangor, Hospital Universiti Sains Malaysia di Kelantan dan ke Hospital Kuala Terengganu.

Lelaki warganegara Myanmar pula dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Tiga mangsa maut sebelum ini yang dikenal pasti sebagai Tun Tun Win, 36, dari Myanmar, Pang Chung Hyok, 29, dari Korea Utara dan Kardianto, 38, dibedah siasat di HUS mulai jam 8 pagi semalam hingga malam tadi.

Mayat ketiga-tiga pelombong itu tiba di HUS sekitar 3 petang kelmarin selepas dibawa dari Hospital Sri Aman pada Isnin.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mengesahkan kawasan kejadian diserah semula kepada syarikat lombong arang batu untuk tindakan selanjutnya selepas Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Ranger Moos kira-kira jam 8.39 malam kelmarin melaporkan kawasan tempat kejadian telah selamat sepenuhnya daripada kandungan gas berbahaya.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) pula bertolak pulang dari lokasi kejadian pada jam 8.41 malam selepas operasi ditamatkan.

Turut hadir di lokasi, Komander Operasi  Penguasa Kanan Bomba I (PgKB) Yusri Mohd Yusof dan PPGB Izzuwan Abd Rahim.

Utusan Borneo 26 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment