November 23, 2014

Budak lemas dalam lubang bertakung

Izaty Syaza Wardina Zulkarnain

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak pe­rempuan berusia enam tahun mati lemas setelah terjatuh ke dalam lubang takungan air di kawasan tapak pembinaan berhampiran rumahnya di Taman Rahda, Machang Bubuk, Machang semasa bermain di tepi lubang itu kelmarin.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, Izaty Syaza Wardina Zulkarnain (gambar) meninggal dunia selepas tenggelam di dalam lubang dipenuhi air hujan sedalam kira-kira dua meter sewaktu bermain bersama dua kakaknya Nabila, 10 dan Siti Nur Amalin, 9 bersama seorang lagi rakan mereka.

Difahamkan tempat kejadian yang terletak 100 meter dari rumah mangsa itu ialah kawasan milik persendirian yang sedang dalam proses untuk pembinaan rumah.

Kosmo 23 Nov 2014


Kanak-kanak maut jatuh lubang

MACHANG - Seorang kanak-kanak lemas selepas terjatuh ke dalam lubang di tapak pembinaan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya di Taman Rahda, Merbau Chondong di sini, petang kelmarin.

Pada kejadian jam 6.10 petang itu, Izaty Syaza Wardina Zulkarnain, 6, disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Pulai Chondong oleh penduduk kampung.

Bapa mangsa, Zulkarnain Ahmad berkata, mangsa bersama dua kakaknya, Nabila, 10, dan Siti Nur Amalin, 9, keluar bermain bersama di kawasan itu sebelum terjatuh ke dalam lubang dan lemas di tempat kejadian.

Katanya, mereka bertiga keluar rumah untuk bermain kira-kira jam 5.30 petang .

“Saya tidak sangka mereka pergi ke tapak pembinaan itu. Saya ingat mereka hanya bermain di sekitar rumah. Saya macam tak percaya apabila dimaklumkan anak saya lemas ketika cuba mandi di dalam lubang yang dipenuhi air itu.

“Rupanya perangai manja sejak kebelakangan ini petanda dia akan pergi selama-lamanya. Sekalipun sedih dengan pemergiannya namun kami reda dan sentiasa mengiringinya dengan doa,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Nabila  berkata, mereka tidak menyangka lubang itu dalam kerana ia dipenuhi air hujan dan kejadian itu berlaku terlalu pantas.

“Saya melihat adik terkapai-kapai meminta tolong .Saya sempat terjun ke dalam lubang itu bagi menyelamatkan adik tetapi malangnya, usaha saya gagal kerana adik sudah tenggelam,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Assisten Superintendan Loo Lian Lay ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau turut meminta ibu bapa memantau pergerakan anak masing-masing bagi memastikan keselamatan mereka terjamin terutamanya pada musim tengkujuh ini.

Sinar Harian 23 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment