November 27, 2014

Sudah ajal baru bersua

MD Jati maut selepas kereta dipandunya merempuh tiang telekomunikasi.

Kuala Berang: “Hampir dua bulan saya tidak menemuinya. Saya terkejut apabila mengetahui adik meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya,” kata Kasmani Awang, 55, dari Kampung Alor Limbat, Marang.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, Md Jati Awang, 34, maut apabila kereta Perodua Kancil dipandunya terbabas lalu melanggar sebuah motosikal dan tiang telekomunikasi di Kilometer 46, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Peroh di sini.

Kasmani berkata, adiknya tinggal bersendirian di rumah pusaka arwah bapa mereka di Kampung Pela di sini, selepas berpisah dengan isterinya beberapa tahun lalu.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan insiden itu sebelum bergegas ke Hospital Hulu Terengganu (HHT).

“Kali terakhir saya bertemu arwah adik ketika menguruskan jenazah ibu saudara yang meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HHT di sini, semalam.

Kakak ipar mangsa, Aminah Ismail, 63, berkata, arwah mungkin mahu ke kedai makan berikutan adik iparnya itu tinggal bersendirian.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Limbat, Marang petang ini (semalam),” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, kejadian berlaku apabila mangsa terbabas ke kanan jalan.

“Kereta dipandu mangsa kemudian melanggar motosikal yang diletakkan di depan sebuah kedai makan sebelum merempuh sebatang tiang telekomunikasi.

“Mangsa maut akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan,” katanya.

myMetro 27 Nov 2014


Lelaki maut kereta dipercayai terbabas

Keadaan kereta dipandu Md Jati setelah dipercayai terbabas ketika tiba di Kampung Peroh, pagi semalam. 

KUALA BERANG - Seorang lelaki maut setelah kereta dipandu dipercayai terbabas dalam kejadian di Kampung Peroh, semalam.

Abang mangsa, Kasmani Awang, 55 berkata, dia mengetahui kejadian menimpa adiknya, Md Jati, 34, setelah  menerima panggilan telefon pada jam 8 pagi daripada seseorang.

Terkejut dengan berita yang diterima, dia kemudiannya bergegas ke Hospital Hulu Terengganu.

“Kali terakhir kami bertemu hampir dua bulan lalu ketika uruskan jenazah ibu saudara yang meninggal dunia, tak sangka hari ini (semalam) saya berjumpanya dalam keadaan lain,” katanya.

Menurut Kasmani dari Kampung Alur Limbat, Marang, adiknya yang melakukan kerja kampung itu tinggal bersendirian di rumah pusaka Allahyarham bapa mereka di Kampung Pela, Ajil setelah berpisah dengan isteri beberapa tahun lalu.

“Saya tak tahu ke mana arah tuju dia sebelum kemalangan kerana tinggal berjauhan.

“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alur Limbat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superitendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi di Kilometer 46 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Peroh.

“Sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Pela ke Kampung Peroh memandu Perodua Kancil dan dipercayai terbabas ke kanan jalan ketika tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Kereta dipandu mangsa kemudiannya melanggar sebuah motosikal di hadapan sebuah kedai makan.

“Kemudian kereta mangsa merempuh sebatang tiang telekomunikasi. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment