November 27, 2014

Bakar 6 gerai lepas gaduh

Alor Setar: Polis Kedah menahan lapan lelaki termasuk seorang dipercayai kurang siuman berhubung insiden pergaduhan dan membakar enam gerai medan selera berikutan kejadian membakar al-Quran di Pasar Besar Alor Setar, di sini, minggu lalu.

Enam suspek ditahan pada jam 4 petang, 20 November lalu manakala dua lagi ditahan pada jam 2 pagi dua hari kemudian di sekitar bandar raya ini.

Difahamkan, semua suspek berusia antara 19 dan 30-an dipercayai terbabit dalam kejadian membakar al-Quran yang ditemui di dalam tong pembakar berhampiran tempat menjalankan upacara sembahyang di Pasar Besar Alor Setar, di sini, pada 20 November lalu.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata, lelaki kurang siuman berusia 40-an itu dipercayai mencuri senaskhah al-Quran di surau berdekatan sebelum membakarnya di dalam sebuah tong berwarna merah di tempat sembahyang di medan selera berkenaan.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Berikutan kejadian itu, seorang lelaki berusia 50-an dibelasah lima lelaki di kawasan pasar raya Bilion akibat tidak berpuas hati dengan kejadian membakar al-Quran.

“Rentetan itu, polis menahan lima lelaki berusia antara 20 hingga 30-an kerana terbabit dalam pergaduhan yang menyebabkan mangsa cedera akibat dibelasah dengan kayu besbol.

“Kami turut merampas sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux yang dilaporkan hilang di Klang, Selangor pada 2008 dan satu telefon bimbit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, semalam.

Zakaria berkata, polis turut menahan dua lelaki berusia 19 dan 26 tahun kerana dipercayai membakar enam gerai di medan selera Pasar Besar Alor Setar, di sini, pada 22 November lalu, kira-kira jam 2 pagi.

“Tempoh reman semua suspek yang berakhir hari ini (semalam) disambung tiga hari lagi bagi membantu siasatan. Kami sudah menyiapkan kertas siasatan dan akan menyerahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan,” katanya.

Katanya, dengan tertangkapnya lapan lelaki terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan isu berkenaan sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum di negeri ini.

myMetro 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment