November 27, 2014

Solat, berdoa resipi kejayaan kembar seiras

AMIRUL Umar (kiri) dan Amirul Abu Bakar bersama ibu mereka menunjukkan slip UPSR.

Seremban: Jaga solat dan tidak lupa berdoa. Itu resipi kejayaan kembar seiras, Amirul Umar Mazlan dan Amirul Abu Bakar yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang diumumkan semalam.

Kembar terbabit antara 62 murid Sekolah Kebangsaan King George V (SKKGV) yang mencapai keputusan cemerlang 5A.

Amirul Umar berkata, biarpun adiknya itu sering kali mengalami masalah kesihatan kerana semput dan kerap dibawa ke klinik ketika sesi pembelajaran, namun ia tidak menjejaskan prestasinya apabila mengekalkan pencapaian 5A yang diraih dalam ujian percubaan sebelum ini.

“Ketika di sekolah, saya dan adik diletakkan dalam kelas yang sama iaitu 6 Informatif dan selalu membuat ulang kaji pelajaran secara bersama di sekolah dan di rumah.

“Ibu, Mariam Muhammad, memberikan sokongan dan perhatian serius di mana kami mempunyai jadual ulang kaji ketika di rumah selain tidak dibenarkan menonton televisyen atau bermain permainan komputer dan Facebook,” katanya ketika ditemui, semalam.

selepas menerima slip UPSR yang disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Pkharuddin Ghazali di Dewan Terbuka SKKGV, semalam.

Turut hadir, Guru Besar Tamyes Saimun dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk Dr Murad Ahmad.

Kedua-dua kembar itu yang masing-masing bercita-cita menjadi doktor dan arkitek bercadang meneruskan persekolahan di tingkatan satu di Sekolah Menengah King George V.

Sementara itu, Mariam, 49, berkata, Amirul Abu Bakar mengalami masalah semput yang serius dan dia terpaksa ke sekolah setiap kali anaknya diserang asma.

“Kadang kala Amirul Abu Bakar tidak dapat menghadiri kelas, namun abangnya banyak membantu,” katanya.

myMetro 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment