November 27, 2014

Berkat ikut pesan arwah ibu

NAJDAH menerima ucapan tahniah daripada rakan sekelas, semalam.

Putrajaya: “Arwah ibu sering berpesan supaya belajar betul-betul. Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya memperoleh keputusan 5A, walaupun tidak dapat menunjukkan kepada arwah, saya bersyukur dan gembira sasaran saya tercapai,” kata Najdah Ismail, 12, yang memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) yang kematian ibunya sejak Februari tahun lalu itu berkata, kehilangan orang tersayang mengajarnya untuk lebih berdikari.

“Ibu menghidap kanser ovari ketika saya berada di tahun empat, selepas dua tahun menderita penyakit itu, ibu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tahun lalu.

“Saya masih ingat, pembantu rumah memberitahu saya ibu sudah tiada dan ketika itu, saya tertanya-tanya kenapa ibu meninggalkan kami lima beradik terlalu awal,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas Majlis Pengumuman Keputusan UPSR 2014 SK Putrajaya Presint 11(1), semalam.

myMetro 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment