November 27, 2014

Setahun masih gatal lagi

KALIAMMAH menunjukkan ruam di tangan dan kaki disyaki akibat tersentuh Miang Mexico.

Seremban: “Saya tidak menyangka ruam kulit ini berpunca daripada Miang Mexico,” kata S Kaliammah yang mengalami masalah ruam pada tangan dan kaki sejak setahun lalu selepas membersihkan pekarangan rumahnya di Kampung Baru Saga, Rantau, dekat sini.

Kaliammah, 63, berkata, mulanya dia menyangka masalah itu berpunca jangkitan kuman dan dia mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), namun doktor tidak dapat mengesan punca ruam itu.

“Selepas beberapa kali rawatan, saya dirujuk kepada Jabatan Pertanian negeri dan pihak berkenaan mengesahkan kemungkinan ia berpunca daripada sentuhan pada Miang Mexico.

“Apa yang menguatkan lagi dakwaan itu ialah saya mendapati rumpai itu banyak tumbuh di sekeliling tanaman bunga di rumah saya. Memang saya ada mencabut rumpai itu tanpa menggunakan sarung tangan,” katanya ketika di temui di rumah anaknya di Taman Lavender Height, Senawang, di sini, semalam.

Menurutnya, sehingga kini, tangannya masih belum pulih sepenuhnya dan dia masih menerima rawatan.

Kaliammah berkata, dia diberi dua ubat sapu dan dua ubat makan, tetapi kesannya bersifat sementara.

myMetro 25 Nov 2014


Bukan sebarang miang

RUMPAI pathenium hysterophorus yang ditemui di Kampung Baru Saga, Rantau

Seremban: "Tumbuhan liar itu perlu dihapuskan segera kerana ia berbahaya kepada manusia. Saya nasihatkan orang ramai jangan sesekali menyentuhnya bagi mengelakkan mudarat."

Itu peringatan Pengarah Pertanian Negeri Sembilan Mustapa Umar mengenai sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Miang Mexico oleh penduduk tempatan di negeri ini.

Tumbuhan itu yang nama saintifiknya parthenium hysterophorus hangat diperkatakan penduduk Kampung Baru Saga di Rantau, dekat sini, kerana dikatakan menyebabkan seorang wanita warga emas mengalami penyakit kulit yang serius.

Mustapa mengesahkan tumbuhan renek yang mempunyai bunga berwarna putih dan daunnya seakan-akan ulam raja itu mengundang pelbagai jenis penyakit kepada manusia.

"Tumbuhan mempunyai ketinggian antara 1.5 meter dan dua meter. Bunga dan daunnya agak cantik dan mudah menarik perhatian tapi jika manusia menyentuhnya macam-macam risiko penyakit boleh dihidapi.

myMetro 24 Nov 2014


Cabut ‘Miang Mexico’

PEGAWAI Jabatan Pertanian negeri mencabut rumpai yang dipercayai memudaratkan manusia.

Seremban: Hasil pendedahan akhbar ini kelmarin mengenai kewujudan rumpai ‘Miang Mexico’ yang boleh membahayakan orang ramai yang memegangnya, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan bertindak mencabut tumbuh-tumbuhan itu di Kampung Baru Saga, Rantau di sini, semalam.

Pengarahnya Mustafa Umar berkata, seramai 10 pegawai ditugaskan untuk mencabut rumpai berkenaan dalam usaha memastikan ia tidak lagi tumbuh di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini, pada 11 dan 20 November lalu, pihaknya sudah melakukan semburan racun pada rumpai itu atau dalam bahasa saintifiknya ‘Parthenium Hysterophorus’.

“Hari ini (semalam), kita sekali lagi bermula jam 9.30 hingga 11.30 pagi bergotong royong mencabut rumpai itu termasuk akarnya di sekitar jalan utama di kampung berkenaan,” katanya.

Harian Metro kelmarin dan semalam melaporkan penemuan rumpai berkenaan yang tumbuh meliar di kampung itu hingga menyebabkan seorang penduduk S Kaliammah, 63, mengalami ruam di tangan serta kaki selepas disyaki memegang tumbuh-tumbuhan itu.

Mustafa berkata, selepas dicabut, rumpai berkenaan dimasukkan dalam plastik sebelum dibakar di kawasan tanah lapang di kampung itu.

Katanya, gotong royong itu hanya membabitkan aktiviti mencabut rumpai yang besar manakala anak pokok akan disembur racun oleh penduduk.

“Pada masa ini, kita sudah memberikan racun kepada 75 pemilik rumah di kampung itu untuk mereka meracun rumpai di halaman kediaman masing-masing,” katanya.

Ketua kampung itu S Ravi, 47, berkata, beliau lega kerana kewujudan rumpai berbahaya itu diambil perhatian pihak berwajib yang segera mencabut dan menyembur racun pada tumbuh-tumbuhan berkenaan.

“Setakat ini, pihak pengurusan kampung turut mengedarkan risalah kepada penduduk mengenai bahaya rumpai berkenaan,” katanya.

myMetro 26 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment