November 27, 2014

Sebulan lesap tanpa berita

Taiping: “Sudah lebih sebulan suami (Kamaruddin Harun, 47) hilang tanpa berita dan kami sekeluarga langsung tidak mengetahui di mana dia berada,” kata Haslina Ahmad, 48.

Menurutnya, suami yang juga bekas tentera dan bekerja sendiri tidak pulang ke rumah mereka di Taman Seri Larut, Simpang di sini, sejak keluar selepas menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan pada 25 Oktober lalu kira-kira jam 5.30 petang.

Haslina ketika ditemui semalam berkata, dia dan lima anaknya begitu sedih dan bimbang keselamatan suaminya kerana sejak keluar dari rumah mereka langsung tidak mendengar khabar berita mengenainya.

Katanya, dia cuba menghubungi suami menerusi telefon namun tidak berjawab malah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar juga tidak berbalas.

“Saya dan anak amat bimbang jika berlaku sesuatu yang buruk kepada suami.

“Sudah puas saya mencari dan menghubungi saudara mara serta adik-beradik suami tetapi hampa dan langsung tidak ada sebarang khabar berita,” katanya.

Menurutnya, ibu mentuanya, Yon Pandak Idris, 83, yang kini tinggal di Parit juga begitu sedih dan bimbang terjadi sesuatu yang buruk dan sentiasa merindui anak lelakinya itu.

Katanya, dia merayu supaya Kamaruddin dapat pulang segera agar dapat melihat cucu kedua mereka yang kini berusia tiga minggu.

Haslina berkata, dia turut menghubungi Balai Polis Simpang untuk bertanyakan sama ada mempunyai sebarang maklumat atau berita mengenai Kamaruddin namun pihak polis juga memaklumkan masih belum mendapat sebarang maklumat mengenainya.

myMetro 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment