November 27, 2014

Polis buru lelaki kasanova

Georgetown: Polis Pulau Pinang memburu seorang kasanova yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan tiga wanita melalui aplikasi WeChat membabitkan kerugian bernilai RM40,000, sejak lebih setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, suspek dipercayai menggunakan nama samaran sebagai Nuraiman Azman Azmi, 20-an dan licik memperdaya wanita kononnya untuk dijadikan teman hidup, sebelum mengikis wang mangsa.

Beliau berkata, suspek dilaporkan menggunakan ayat manis termasuk membawa mangsa berjalan-jalan sehinggalah timbul perasaan cinta terhadap suspek yang berlagak romantis sepanjang perkenalan mereka.

“Kegiatan licik suspek sememangnya sukar dihidu kerana dia terlalu pandai bermain ayat-ayat manis sehingga mangsa mudah percaya dan ada di antara mangsa yang memberikan suspek meminjam kereta, wang, barang berharga dan bermacam-macam lagi.

“Suspek mengumpan semua mangsa kononnya akan dilamar dijadikan isteri sebelum kesempatan itu digunakan untuk mengikis wang dan harta benda mangsa sebelum melarikan diri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Azmi berkata, hasil siasatan mendapati semua mangsa terbabit bekerja di berapa kilang di sekitar Seberang Perai Tengah dan sehingga kini polis sudah menerima tiga laporan yang dibuat ketiga-tiga mangsa, Sabtu lalu membabitkan kerugian RM40,000.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih 10 tahun atau enam sebatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Syafiq Syaidil di talian 04-5762222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

 myMetro 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment