November 24, 2014

Pemegang pas UNHCR maut ditikam

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar mati dipercayai akibat ditikam di pinggang di Jalan Ampat Tin, Off Batu 4 1/2 Jalan Ipoh di sini awal pagi ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Myo Thura, 27, ialah pemegang pas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, mangsa pulang ke rumah sewanya pada pukul 1.30 pagi dalam keadaan berlumuran darah dan dibawa seorang rakan serumahnya ke sebuah klinik di Batu 3, Jalan Ipoh.

Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang dan kejadian itu dimaklumkan kepada pemilik rumah yang menghubungi polis.

"Bagaimanapun dia meninggal dunia dan doktor yang menjalankan pemeriksaan

mendapati kesan tikaman di pinggang mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Munusamy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan.

Punca kejadian masih disiasat. - Bernama

24 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment