November 24, 2014

Pemandu bas ekspres maut elak kereta terbabas


ANGGOTA polis memeriksa bas ekspres yang terbabit nahas.

Hingar penumpang menjerit

Jasin: Tindakan seorang pemandu bas ekspres mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang melintang di lorong kiri lebuh raya bertukar tragedi apabila dia terbunuh selepas kenderaan membawa 17 penumpang itu hilang kawalan dan terbalik di Kilometer 174.1, Lebuh Raya PLUS, arah utara, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pemandu bas, Mohd Hazuan Zaharia, 35, yang parah di kepala dan badan maut manakala lima penumpang iaitu seorang lelaki dan empat wanita termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia antara 21 hingga 47 cedera ringan.

Difahamkan ketika kejadian, Proton Saga BLM dipandu seorang wanita dari arah Johor ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum melintang di lorong kiri.

Keadaan itu menyebabkan bas ekspres dalam perjalanan ke Melaka Sentral cuba mengelak sebelum hilang kawalan dan terbalik.

Pemandu Proton Saga BLM berusia 40 tahun bersama penumpangnya yang berusia 34 tahun cedera ringan. Semua mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

myMetro 25 Nov 2014


Maut elak langgar kereta terbabas

Bas ekspres dalam perjalanan dari Johor Bharu ke Melaka Sentral terlibat dalam kemalangan di Kilometer 174.1 Lebuhraya Utara Selatan, petang kelmarin. Gambar kecil: Mayat Hazuan berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

JASIN - Seorang pemandu bas ekspres maut manakala lima penumpang lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik, di Kilometer 174.1 Lebuhraya Utara - Selatan arah utara, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Hazuan Zahari, 35, berasal dari Banting, Selangor maut di tempat kejadian.

Sumber polis berkata, bas yang membawa 17 penumpang itu dalam perjalanan dari Johor Bharu menghala ke Melaka Sentral.

Kata sumber, pemandu bas hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah kereta Proton Saga BLM di hadapannya yang dipercayai terbabas dan melintang di laluan bas.

“Mangsa cedera parah dipercayai tersepit dan tercucuk rangka besi pintu.

 "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat, sementara penumpang bas, pemandu kereta serta seorang penumpangnya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden, Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, jalan berkenaan basah akibat hujan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 25 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment