November 1, 2014

Pasangan warga emas maut

Honda Civic (kiri) dinaiki mangsa yang hilang kawalan sebelum dirempuh Toyota Hilux.

BATANG MELAKA - Sepasang suami isteri warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Batang Melaka, berhampiran Balairaya Batang Melaka, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.10 petang itu, kereta jenis Honda Civic dinaiki pasangan berkenaan yang dipandu anak perempuannya dalam perjalanan ke Bukit Jalor selepas dikatakan membawa keluar seorang ahli keluarga mereka yang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Saksi kejadian dikenali sebagai Sharif Suboh berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu dalam perjalanan dengan isterinya dari Batang Melaka ke Gemencheh sebelum melihat kemalangan tersebut.

Menurut Sharif, kereta dipandu anak perempuan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang guru wanita Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Taha, Gemencheh yang datang dari arah bertentangan.

“Saya bernasib baik kerana sempat mengelak melanggar Vios yang terbalik di tengah jalan itu. Difahamkan guru itu dalam perjalanan ke Melaka untuk menghadiri kursus.

“Namun, sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian depan Honda Civic dinaiki warga emas itu, menyebabkan tiga buah kenderaan terlibat,” katanya.

Menurutnya, penumpang warga emas itu kritikal setelah mengalami pendarahan dalaman, manakala isterinya patah tangan kiri.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka," katanya yang juga merupakan Sidang Batang Melaka.

Kedua-dua warga emas berkenaan bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka, manakala anak perempuannya dilaporkan parah dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Sinar Harian 29 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment