November 1, 2014

Tangan, kaki diikat pengasuh


KANAK-kanak berusia tiga tahun ditemui ibunya dalam keadaan tangan, kaki terikat di rumah pengasuh.

Butterworth: Naluri seorang ibu bagaikan dapat berasakan ada sesuatu tidak kena apabila anak lelakinya yang berusia tiga tahun pulang daripada rumah pengasuh dalam keadaan lapar sejak beberapa hari lalu, akhirnya terbukti benar.

Malah, pemeriksaan mengejut dilakukan wanita berkenaan di rumah pengasuh anaknya di Taman Sri Pinang dekat sini, jam 10 pagi, kelmarin mendapati tangan anaknya terikat ke belakang dan kaki turut diikat dan dibiarkan terbaring di atas lantai.

Lebih mengejutkan wanita berkenaan, ketika itu hanya anak pengasuh berkenaan yang berusia 11 tahun berada dalam rumah manakala pengasuh terbabit tiada di rumah.

Sumber berkata, berikutan itu, wanita yang bekerja kilang itu membuat laporan polis kelmarin dan pengasuh terbabit ditahan hari sama.

“Wanita berusia 38 tahun itu menghantar anak lelakinya ke rumah pengasuh berusia 39 tahun di kawasan flat sama, sejak Jun tahun lalu dan pada hari kejadian, dia menghantar anaknya seperti biasa jam 5.30 pagi.

“Sebelum ini, tiada masalah, namun wanita itu curiga selepas anaknya pulang daripada rumah pengasuhnya dalam keadaan lapar sejak beberapa hari lalu.

“Berikutan itu, ibu mangsa yang mengesyaki anaknya didera membuat pemeriksaan mengejut dengan pergi ke rumah pengasuh pagi, semalam (kelmarin),” katanya.

Beliau berkata, pengadu membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan pengasuh mengikat anaknya.

“Pengasuh mendakwa mengikat tangan kanak-kanak itu menggunakan tali pinggang dan kaki dengan tali kerana dia terlalu nakal, namun tiada kecederaan lain ditemui pada badan mangsa,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan suspek direman tiga hari sehingga Jumaat ini.

myMetro 30 Okt 2014


Pengasuh ikat budak setiap kali keluar rumah

Butterworth: Jiran kanak-kanak berusia tiga tahun yang diikat pengasuhnya di Taman Seri Pinang, dekat sini, mendakwa budak malang itu diikat setiap kali pengasuhnya keluar rumah apabila mempunyai urusan.

Jiran mangsa yang enggan dikenali itu mendakwa, kanak-kanak itu pernah memberitahu ibunya dia diikat, tetapi ibunya sukar mempercayainya berkenaan kerana beranggapan pengasuh terbabit seorang yang baik.

“Bagaimanapun, disebabkan tidak sedap hati, ibu kanak-kanak itu ke rumah pengasuh anaknya di blok sama, Selasa lalu.

“Dia terkejut apabila melihat anaknya dalam keadaan tangan diikat ke belakang dan kaki diikat terbaring atas lantai lalu mengambil keputusan membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui, semalam.

Difahamkan, pengasuh berusia 39 tahun itu mengambil upah menjaga empat kanak-kanak berusia antara setahun hingga lima tahun termasuk mangsa yang didakwa nakal sehingga terpaksa diikat.

Jiran mangsa berkata, bayaran upah mengasuh bergantung kepada jumlah hari anak mereka dijaga, sama ada RM5 sehari atau RM300 sebulan.

“Upah menjaga kanak-kanak itu lebih mahal kerana tinggal lebih lama dengan pengasuh berikutan ibunya bekerja kilang.

“Saya simpati melihat kanak-kanak itu letih apabila pulang ke rumah. Nakal macam mana pun, tak patut sampai ikat kaki dan tangan kerana dia masih kanak-kanak,” katanya.

Susulan laporan polis dibuat ibu mangsa, pengasuh terbabit direman tiga hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro menemu bual ibu mangsa yang berusia 38 tahun gagal kerana difahamkan dia mengambil cuti pulang ke kampung.

myMetro 31 Okt 2014


Pengasuh didakwa dera budak

BUTTERWORTH: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada Selasa lalu.

Noor Faezah Said, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Flat Seri Pinang di sini pada kira-kira 10 pagi, 28 Okt lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pendakwaan, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tangannya diikat di belakang badannya manakala kakinya diikat dengan tali.

Tiada pengakuan dicatatkan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab, yang menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam.

Terdahulu, ketika merayu jaminan yang lebih rendah, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai lapan anak untuk disara.

Muhammad Firdaus kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fairuz Rahman. - Bernama

31 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment