November 22, 2014

Maut diseret lori ketika baiki pembahagi jalan

Hasan maut diseret sejauh 30 meter ketika sedang membuat kerja penambahbaikan pembahagi jalan.

 Pemandu lori tidak mengalami kecederaan dalam kejadian terbabit. 

KUANTAN - Seorang pekerja kontrak maut manakala empat rakannya cedera dalam nahas membabitkan dua buah lori di Kilometer 42.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Nor Mansor berkata, kejadian berlaku ketika mereka yang merupakan warga Indonesia sedang membaiki pembahagi jalan.

Beliau berkata, mangsa yang dikenali sebagai Hasan terseret sejauh kira-kira 30 meter dan mati di tempat kejadian sementara rakannya yang patah kaki kanan dikenali sebagai Mohammad Roji, manakala tiga yang lain cedera ringan dikenali sebagai Fauzi, Anton dan Fahri.

Beliau berkata, nahas berlaku ketika sebuah lori yang datang arah Kuala Lumpur menuju Kuantan dilaporkan hilang kawalan ketika menuruni bukit akibat kerosakan brek lalu merempuh sebuah lori lain di hadapannya.

"Pelanggaran itu menyebabkan lori yang dirempuh itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh lima pekerja berkenaan," katanya. - Bernama

21 Nov 2014


Pekerja kontrak maut diseret lori

BENTONG - Seorang pekerja kontrak maut diseret lori di Kilometer 42.4 Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak sekitar jam 12 tengah hari semalam.

Mangsa, Hasan, merupakan warga Indonesia maut diseret lori jenis Isuzu satu tan yang dilanggar sebuah lagi lori jenis Isuzu muatan tiga tan sejauh kira-kira 30 meter.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Mansor Mohamad Nor berkata, pemandu lori Isuzu tiga tan dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.

“Hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan turun bukut dua lorong di mana permukaan jalan adalah kering dan cuaca ketika itu juga cerah.

“Kemalangan berlaku ketika lori Isuzu tiga tan sedang turun bukit di tempat kejadian dan dipercayai hilang kawalan akibat brek tidak dapat berfungsi,” katanya.

Tambahnya, lori Isuzu tiga tan terbabit kemudiannya melanggar lori Isuzu satu tan di lorong laju lalu terbabas masuk ke gigi jalan sebelah kanan.

“Sebaik terbabas, lori Isuzu satu tan terbabit kemudiannya terus melanggar mangsa yang sedang melakukan kerja penambahbaikan pembahagi jalan di lokasi kejadian.

“Mangsa diseret sejauh kira-kira 30 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, turut bersama mangsa ialah empat lagi pekerja kontrak di mana seorang pekerja patah kaki kanan, dua cedera ringan dan seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa cedera di bawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut manakala kedua-dua pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sinar Harian 22 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment