November 27, 2014

Lapan selamat, seorang masih hilang


Feri penumpang, bot kargo berlanggar di perairan Sabah

KOTA KINABALU 25 Nov. - Seorang anak kapal dilaporkan hilang dalam insiden pe-langgaran membabitkan feri penumpang, KM Perancis Ekspres dengan sebuah bot kargo, KM Bunga Mekar di perairan Simpang Tiga, Tawau petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, lapan orang penumpang feri berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh polis marin.

Difahamkan, anak kapal feri itu, An Zulkarnain Als Zoel, 22, hilang ketika cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke laut.

Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau, Kapten Maritim Anor Jaafar berkata, feri terbabit dalam perjalanan ke Nunukan, Indonesia untuk membawa pulang seramai 104 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah selesai menjalani hukuman ke negara jiran itu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, feri terbabit yang bergerak dari Tawau pada pukul 5.15 petang telah bertembung de-ngan KM Bunga Mekar yang membawa muatan pelbagai barangan.

“Berikutan itu, lapan orang penumpang dan seorang anak kapal yang berada di dek feri berkenaan secara tiba-tiba terjun ke laut. Kita percaya mereka bertindak sedemikian untuk menyelamatkan diri selain bimbang feri tersebut akan karam.

“Lapan daripada mereka berjaya diselamatkan manakala anak kapal feri terbabit dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anor memberitahu, pihaknya kini meneruskan operasi mencari dan menyelamat dengan menggerakkan Bot Kilat 45 serta Unit Udara Maritim Malaysia ke lokasi kejadian.

“Bot peronda Pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat turut berada di lokasi untuk tujuan sama. Setakat ini tiada sebarang perkembangan penemuan anak kapal terbabit serta operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan,” tambahnya.

Utusan 26 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment