November 27, 2014

Penceroboh mati ditembak, 
9 lagi ditahan di Semporna


Polis tumpaskan suspek di perairan Bangau-Bangau

SEMPORNA 26 Okt. - Seorang lelaki berusia 40-an mati selepas berbalas tembakan dengan polis ketika cuba meloloskan diri dengan menaiki sebuah bot ketika dikejar pasukan itu di kawasan perairan Bangau-Bangau dekat sini, awal pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.15 pagi iaitu ketika pe­rintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang memasuki fasa ketujuh sedang berjalan sehingga 6 November ini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Abdul Rashid Harun berkata, pada awalnya, sepasukan pegawai dan anggota polis menjalankan rondaan serta pemantauan di kawasan perairan itu menggunakan dua buah bot samaran Decoy 40 dan Decoy 2.

“Mereka terserempak dengan sebuah bot berwarna biru dan mempunyai garisan merah di bahagian atas bot yang dikemudi oleh suspek. Polis cuba menghampiri bot tersebut tetapi suspek terus bertindak memecut ke arah perairan pelabuhan Semporna.

“Bagaimanapun, suspek berjaya dipintas tetapi secara tiba-tiba beberapa das tembakan dilepaskan ke arah pasukan polis yang memaksa mereka membalasnya untuk mempertahankan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Rashid memberitahu, ha­sil pemeriksaan dijalankan ke atas bot menemu seorang lelaki tanpa pengenalan diri dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah.

Ujarnya, turut ditemu sepu­cuk revolver .38, dua kelongsong peluru dan lima butir peluru hidup dalam bot itu selain sebuah telefon bimbit jenama Nokia.

“Pasukan polis mendapat ada dua kesan tembakan di bahagian kiri bot Decoy 40. Siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui penglibatan suspek dalam kes culik untuk tebusan dan lain-lain kes jenayah rentas sempadan.

“Mayat suspek dirujuk ke Hospital Tawau dan didapati terdapat empat kesan tembakan di bahagian belakang kepalanya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh),” jelasnya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, menerusi operasi susulan di beberapa perkampungan air di Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Batu di sini, pihak Esscom menahan sembilan orang termasuk dua wanita berusia dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan, terutama kes melibatkan culik untuk tebusan dan jenayah rentas sempadan.

“Kita ada maklumat-maklumat tertentu yang perlu kita sahkan dan tangkapan dijalankan untuk membantu siasatan, apakah mereka ini terlibat dengan kes-kes lain serta hubungan mereka dengan kes awal pagi ini (suspek ditembak),” tambahnya.

Sehubungan itu beliau memin­ta kerjasama semua pihak bagi mengesan enam lagi individu yang boleh membantu dalam siasatan kes culik untuk tebusan serta jenayah rentas sempadan.

Jelasnya, mereka ialah Nikson, Badung, Bocoi atau Komander Black, Wahab, Alex dan Ali atau Brown.

“Kita mahu mereka ini tampil untuk membantu siasatan kerana polis ada maklumat-maklumat tertentu dan percaya enam individu itu boleh bantu kita. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi Bilik Gerakan Esscom di talian 089-863181,” katanya.

Utsan 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment