November 27, 2014

'Hari ini dia banyak duduk'

Nur Aishah menunjukkan slip keputusan UPSR kepada Mamat sebaik pulang dari sekolah di Kampung Dusun, semalam.

KAMPUNG DUSUN - Keterujaan seorang bapa yang diserang angin ahmar menunggu anak bongsunya pulang dari sekolah membawa slip keputusan UPSR 2014 ternyata berbaloi apabila anaknya itu berjaya memperoleh 5A.

Biarpun sukar untuk bercakap, namun senyuman terukir serta anggukan kepala Mamat Mahmod, 61, yang lumpuh sebelah kanan badan sejak Jun 2009 jelas menggambarkan kegembiraannya ketika Nur Aishah, 12, menunjukkan slip keputusan kepadanya.

Menurut ibu Nur Aishah, Roslina Ibrahim, 53, sejak dari pagi dia melihat suaminya lebih banyak duduk daripada berbaring sebagaimana kebiasaan kerana tidak sabar untuk melihat slip keputusan diperoleh anak kelapan mereka itu.

“Sejak diserang angin ahmar, suami tak dapat berjalan dan bercakap.

“Masa sehariannya hanya dihabiskan atas tilam dan biasanya dia lebih suka berbaring pada waktu-waktu begini..tapi hari ini (semalam), dia hanya duduk,” katanya.

Kata Roslina, mungkin Mamat tidak sabar menunggu kepulangan anak mereka untuk melihat sendiri slip keputusan, sehinggakan suaminya itu tidak senang hati untuk berbaring.

“Syukurlah anak bongsu kami berjaya mencapai keputusan 5A dan sebagai ibu bapa sudah pasti kami gembira,” katanya.

Roslina berkata, sepanjang tempoh peperiksaan dia tidak putus berdoa dan menunaikan solat hajat agar Nur Aishah mendapat keputusan cemerlang.

“Anak kedua kami juga dapat 5A UPSR dan kini dia bertugas sebagai seorang pendidik,” katanya.

Sementara itu, Nur Aishah yang merupakan murid SK Dusun berkata, fokus ketika berada dalam kelas dan suka bertanya menjadi faktor kejayaan.

“Saya ingin jadi doktor dan kejayaan hari ini adalah kejayaan semua guru yang ajar saya selama ini..ini juga hadiah untuk ibu dan bapa yang tidak putus berdoa,” katanya.

Sinar Harian 27 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment