November 23, 2014

Budak tiga tahun dibunuh selepas diculik

MOHD. SHARIQAL yang tidak berdosa dikatakan dibunuh suspek hanya kerana dendam.

BEAUFORT – Dendam terhadap keluarga mangsa dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak kejam membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Mohd. Shariqal Sidek dari Kampung Selagon di sini.

Mayat, Mohd. Shariqal ditemui polis dalam keadaan menyayat hati dalam keadaan mengembung di Sungai Kecil, Kampung Jimpangah di sini semalam selepas 56 jam kehilangan kanak-kanak comel itu.

Polis berjaya menjumpai mayat mangsa pada pukul 2.15 petang semalam di sungai tersebut yang berdekatan dengan Sekolah Menengah St. John iaitu kira-kira tujuh kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan hilang di kebun getah Kampung Selagon Jumaat lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Supritendan Mustaffa Maarof Mustaffa, pe­nemuan itu susulan penahanan dan soal siasat terhadap seorang suspek lelaki berusia 30 tahun yang dikatakan tinggal berdekatan rumah mangsa.

Kosmo 24 Nov 2014


Apa salahku, apa dosaku!

BAPA mangsa, Sidik Bakri dan isterinya, Samine Rawel. 

Beaufort: Teka-teki kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Kampung Selagon, Jumaat lalu, ketika keluar bermain dengan dua abangnya, terjawab apabila dia ditemui mati di satu sungai kecil di Kampung Jempangah, di sini, petang semalam.

Mayat Mohd Shahriqal Sidek ditemui terapung jam 2 petang semalam, dipercayai dibunuh sebelum dicampak di kawasan berkenaan iaitu tujuh kilometer dari lokasi terakhir kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

Difahamkan Shahriqal mengikut dua abangnya, Mohd Syahfuddin Sidek, 8, dan Mohd Syahrizam Sidek, 6, keluar bermain di kawasan perumahan mereka di Kampung Selangon, kira-kira jam 7 pagi, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, dua abangnya mendapati Shahriqal tidak ada bersama lalu memaklumkan kepada ibunya yang kebetulan keluar mencari anaknya.

Walaupun usaha mencari Mohd Syahriqal bersama penduduk kampung dilakukan, mangsa gagal ditemui menyebabkan ibunya membuat laporan polis jam 4 petang, hari yang sama.

myMetro 24 Nov 2014


Suspek bunuh budak berang diejek

LOKASI mayat kanak-kanak (gambar kecil) ditemui. FOTO Mohd Nazllie Zainul

Beaufort: Suspek pembunuhan kanak-kanak Mohd Shahriqal Sidek, 3, mengaku menampar mangsa berulang kali sehingga pengsan sebelum mencampaknya ke anak sungai di Kampung Jempangah, Beaufort, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa berkata demikian ketika dihubungi, di sini, hari ini.

"Hasil siasatan awal, suspek berusia 30 tahun itu mengaku bertindak demikian pada Jumaat lalu termasuk mencampaknya ke anak sungai berhampiran Sekolah Menengah St John, kira-kira 7 kilometer dari lokasi kanak-kanak itu hilang.

"Suspek memberitahu mangsa yang kerap mengejeknya sebelum ini menyebabkan lelaki itu berang lalu bertindak menyerang mangsa," katanya.

Suspek kini direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan.

myMetro 24 Nov 2014


‘Tidak tahu mana adik’


MOHD. SYAHFUDDIN SIDEK menunjukkan kawasan dia dan dua adiknya bermain sebelum Mohd. Shariqal dilaporkan hilang di Kampung Selagon, Beaufort, semalam.

BEAUFORT 24 Nov. – “Saya tidak tahu di mana dan siapa yang ‘sorok’ adik”.

Begitu cerita Mohd. Syahfuddin Sidek, 8, abang sulung kepada kanak-kanak malang, Mohd. Shariqal, 3, yang ditemui mati selepas dilaporkan hilang ketika bermain bersama di kawasan berhampiran kebun getah di Kampung Selagon, dekat sini, Jumaat lalu.

Katanya, dia dan seorang lagi adiknya, Mohd. Syahrizam, 6, serta mangsa keluar dari rumah untuk bermain-bermain di kawasan kebun yang terletak berhampiran rumah.

“Selepas bermain, saya dan Ijam (Mohd. Syahrizam) pulang ke rumah tetapi tidak nampak di mana adik (Mohd. Shariqal). Masa bermain, tiada sesiapa pun yang datang dekat dengan kami.

‘‘Sebaik sahaja sampai rumah, kami beritahu ibu, tak nampak adik,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Mohd. Shariqal dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk bermain di kawasan kebun berkenaan pada pukul 6.30 pagi.

Ibu mangsa, Samine Rawel, 24, kemudian membuat laporan polis pada pukul 4 petang, hari yang sama.

Mangsa bagaimanapun ditemukan mati pada pukul 2.15 petang semalam di sebatang sungai di Kampung Jempangah di sini, hampir 10 kilometer dari kawasan kejadian itu, susulan penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun yang menetap di sebuah rumah berdekatan kebun getah tersebut.

Utusan 25 Nov 2014


Tak tahan diejek punca bunuh

SEORANG anggota polis menunjukkan lokasi penemuan mayat Mohd. Shariqal Sidek di tepi sungai di Kampung Jempangah, Beaufort, semalam.

Lelaki OKU akui sakit hati, tampar kepala kanak-kanak 3 tahun hingga maut

BEAUFORT 24 Nov. - Lelaki yang ditahan untuk membantu siasatan kes bunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Kampung Selagon dekat sini, Jumaat lalu, dikatakan berbuat demikian kerana tidak tahan sering diejek mangsa.

Dia yang berusia 30 tahun sering diejek Mohd. Shariqal Sidek sejak berpindah ke kampung tersebut dan berjiran dengan keluarga mangsa yang juga mempunyai pertalian saudara dengannya, sejak empat bulan lalu.

Dendam lelaki berkenaan yang cacat di bahagian kaki akhirnya sampai kemuncak pada hari kejadian, menyebabkan dia bertindak ‘melarikan’ mangsa dengan keretanya sebelum menampar kepala kanak-kanak malang itu berkali-kali sehingga pengsan.

Panik apabila melihat kanak-kanak itu pengsan serta mulutnya berbuih, dia mencampakkan mangsa di tepi sebatang sungai di Kampung Jempangah berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John di sini, hampir 10 kilometer dari kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mustaffa Maarof Mustaffa berkata, hasil soal siasat terhadap suspek, lelaki itu mengaku sudah lama menyasarkan mangsa kerana berasa sakit hati.

‘‘Isteri suspek dan ibu kepada kanak-kanak itu mempunyai kaitan persaudaraan. Suspek ada seorang anak dan tidak memiliki rekod jenayah,’’ katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di sini, hari ini.

Mohd. Shariqal dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ketika bermain bersama dua orang abangnya iaitu Mohd. Syahfuddin, 8; dan Mohd. Syahrizam, 6, di kawasan kebun getah yang terletak bersebelahan rumah suspek.

Mangsa dikatakan keluar dari rumah kira-kira pukul 6.30 pagi tanpa disedari ibunya, Samine Rawel, 24. Kedua-dua abang mangsa kemudian memaklumkan kepada ibu mereka tentang kehilangan Mohd. Shariqal.

Misteri kehilangan mangsa akhirnya terjawab apabila dia ditemui mati pada pukul 2.15 petang semalam selepas suspek yang ditahan membawa pihak polis ke lokasi penemuan mayat terbabit.

Mustaffa Maarof seterusnya memberitahu, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan reman selama seminggu dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, pihaknya turut mengesahkan suspek tidak mempunyai rekod sakit mental.

‘‘Suspek merupakan OKU kerana cacat di bahagian kaki akibat kemalangan jalan raya,’’ ujarnya.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak itu baru bekerja di ibu negara dan merancang untuk membawa keluarganya berpindah ke sana pada Februari nanti.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Utusan 25 Nov 2014

0 comments:

Post a Comment