November 23, 2014

1 maut, 4 parah pergaduhan dua kongsi gelap

TEMERLOH: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera parah dalam pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap di Bukit Bendera, Mentakab dekat sini awal pagi ini, menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Datuk Zakaria Ahmad, berkata dalam pergaduhan kira-kira 3.20 pagi itu, P Arasu, 44, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

"Polis percaya sebuah motosikal diletakkan di atas badan mangsa yang cedera parah sebelum motosikal berkenaan dibakar," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh hari Zakaria berkata, pergaduhan di hadapan rumah Persatuan Kebajikan Sukan dan Rekreasi di Bukit Bendera itu melibatkan penggunaan senjata tajam seperti besi dan kayu.

Katanya, empat mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk rawatan dan akan ditahan untuk siasatan.

"Polis sedang memburu anggota kumpulan yang terbabit dalam pergaduhan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta kesalahan merusuh," katanya. - BERNAMA

22 Nov 2014


Tidak mengaku bunuh pemandu lori

TEMERLOH – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Majistret Temerloh, di sini semalam atas tuduhan bunuh seorang pemandu lori dalam kejadian rusuhan dan bunuh di Taman Bukit Bendera Mentakab 22 November lalu.

Ketiga-tiga tertuduh S.Sivachandran 26, S.Sundramoorthy 22, dan B.Thiyagu 29, kesemua beralamat di Taman Bukit Bendera, Mentakab mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Najwa Hashim atas pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan ketiga-tiga mereka bersama dua lagi yang masih bebas didakwa membunuh P.Arasu 44, pada 22 November jam antara 2.30 pagi hingga 3.30 pagi di Jalan Bendera 3 Taman Bukit Bendera di sini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman mati jika sabit kesalahan.

Peguam, Nurul Hikmah Mohd Raya yang mewakili peguam asal tertuduh, Sheelan Arjunan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh sementara menunggu laporan bedah siasat.

Mahkamah kemudian menetapkan kes  disebut semula 28 Januari 2015.

Dalam kejadian 22 November lalu, P. Arasu maut manakala empat cedera parah apabila diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan senjata tajam, batang besi serta kayu.

Pergaduhan berlaku sekitar jam 3.20 pagi menyebabkan mangsa yang juga seorang pemandu lori dan juga bapa kepada empat anak mati serta merta.

Empat lagi lelaki yang cedera parah dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

Pada 2 Disember lalu, lima individu dituduh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata berkaitan kes yang sama.

Kelima-lima mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dengan kes tersebut akan disebut semula pada 8 Januari hadapan.

Sinar Harian 6 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment