October 20, 2014

Remaja perlu sumbangan, bantu jalani pembedahan

Mohamed dan Maheran melihat kecederaan di kepala Abdul Salam yang beransur baik, semalam

MACHANG -  Dua bulan selepas kehilangan ibu tersayang, seorang remaja berdepan dugaan getir apabila tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan Jun lalu di Kampung Kerilla, Temangan, dekat sini.

Kemalangan tersebut juga menyebabkan Abdul Salam Mohamed, 24, tidak sedarkan diri hampir sebulan dan terpaksa tinggal di hospital sekaligus menjadikan hospital sebagai rumah kedua dia  serta ahli keluarga terutama bapanya, Mohamed Seman, 58.

Mohamed berkata, ketika kejadian, Abdul Salam dalam perjalanan ke tempat kerja di Ladang Kuala Hau dan motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebatang pokok tumbang di atas jalan raya kira-kira jam 6.20 pagi.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian tersebut kira-kira jam 8 pagi selepas dimaklumkan penduduk berdekatan dan bergegas ke hospital biarpun kesihatannya tidak mengizinkan.

“Ahad ini (esok), dia dijangka menjalani pembedahan sekali lagi bagi memasang semula tempurung kepala yang dibuang di Hospital Universiti Sains Malaysia dan saya berharap ia berjalan dengan baik bagi memastikan Abdul Salam dapat menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini.

“Namun, dalam masa yang sama, saya bimbang dan buntu memikirkan bayaran perubatan dan pembedahan yang bakal dikenakan. Saya   telah berhabis lebih RM900 untuk bayaran rawatannya sebelum ini. Saya juga tidak sihat dan tidak mampu bekerja kuat untuk mengumpulkan wang,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah, di sini, semalam.

Mohamed berkata, dia memohon kad orang kurang upaya (OKU) untuk anaknya itu dengan harapan dapat mengurangkan kadar bayaran yang bakal ditetapkan nanti.

Katanya,  dulu, dia dan keluarga bergantung hidup kepada pendapatan Abdul Salam dan adiknya, Abdul Rahim bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga  namun kedua-duanya hilang dalam sekelip mata selepas kemalangan itu.

Tambahnya, Abdul Rahim yang bekerja di ibu kota terpaksa pulang ke kampung bagi menjaga Abdul Salam dan dirinya yang juga sering sakit serta berulang alik ke hospital.

“Pada masa yang sama, dia juga perlu menjaga adiknya yang juga  OKU, Maheran Izati, 15.  Saya benar-benar buntu namun pembedahan itu penting untuk Abdul Salam meneruskan kehidupan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Agro  milik Mohamed di nombor 2006672000088946.

Sinar Harian 18 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment