October 31, 2014

Rakit buluh terbalik, dua lemas


'Hilang tenaga'

Gua Musang: "Nasib baik saya sempat berpaut pada dahan kayu selepas dihanyutkan arus deras sejauh 30 meter," kata Anuar Ali, 36, seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian rakit buluh terbalik selepas merempuh batu di Sungai Aring 10, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, Anuar menaiki rakit berkenaan bersama sembilan rakannya. Tujuh daripadanya termasuk Anuar berjaya menyelamatkan diri, manakala dua lagi, Mohd Nor Abdul Rahman, 47 dan Nasrul Hafiz Shahrudin, 29, lemas.

Mayat Mohd Nor ditemui pada jam 3.30 petang semalam oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba berhampiran tempat kejadian manakala sehingga jam 6 petang semalam, Nasrul Hafiz belum ditemui.

Anuar berkata, selepas terjatuh di dalam sungai itu dihanyutkan arus deras sejauh 30 meter sebelum berpaut pada dahan kayu.

"Ketika itu saya hilang tenaga dan hanya mampu berdoa supaya diselamatkan segera.

myMetro 26 Okt 2014


Tragedi rakit buluh langgar batu

GUA MUSANG  – Seorang mati dan seorang lagi dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus deras Sungai Aring 10 ketika terjatuh dari rakit buluh yang dinaiki untuk memancing,  malam kelmarin.

Mangsa yang ditemui mati, Mohd Nor Abdul Rahman, 47 berasal dari Taman Sri Medan, Petaling Jaya, Selangor. Mayatnya ditemui kira-kira 3.50 petang semalam, tidak jauh dari tempat kejadian.

Manakala mangsa yang masih hilang, Nasrul Hafiz Shahrudin, 29 berasal Taman Desa Rhu Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku jam 9.20 malam ketika mereka antara 10 ahli Persatuan Bentara Sakti Kuala Lumpur berkelah di Kuala Koh dan menaiki rakit buluh yang dipinjam dari penduduk Orang Asli untuk memancing.

Beliau berkata, selepas perjalanan selama 10 minit, rakit buluh yang dinaiki mereka melanggar batu di tengah sungai berkenaan menyebabkan kesemua terjatuh dan hilang dihanyutkan arus sungai deras itu.

Katanya, Nasrul yang turut hilang apabila cuba menyelamatkan Mohd Nor dan sama-sama dihanyutkan arus deras.

Nasrul masih belum ditemui dan operasi mencari membabitkan polis, anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) masih diteruskan.

“Ketika kejadian itu juga seorang lagi mangsa yang dihanyutkan arus deras dijumpai selamat bergantung pada dahan kayu di tepi berkenaan sebelum diselamatkan anggota penyelamat kira-kira jam 4.45 pagi sebaik menerima aduan itu,” katanya.

Saiful Bahri berkata, rombongan ahli Persatuan Bentara Sakti datang untuk berkelah sambil memancing ikan di sungai berkenaan jam 12 tengah hari kelmarin dan berehat di kawasan sekejap sebelum menemui penduduk Orang Asli bersama rakit buluhnya.

Katanya, mereka meminjam rakit buluh Orang Asli untuk dinaiki beramai-ramai menghala ke arus sungai berkenaan dan tidak menyedari ada batu besar di tengah-tengah sungai itu menyebabkan rakit buluhnya terangkat.

Sementara itu, seorang mangsa yang selamat, Anuar Ali, 36 , berkata, ketika kejadian masing-masing menyelamatkan diri termasuk dirinya yang dihanyutkan arus sungai yang deras itu sehingga ke jarah 30 meter.

“Saya memang tak tahu langsung apa yang berlaku ketika itu kerana turut lemas dan tidak sedarkan diri lima jam sebelum kepala terhantuk di dahan kayu di tepi sungai menyebabkan tersedar di situ dan sempat bergantung di dahan kayu sebelum diselamatkan pasukan penyelamat.

“Memang kami semua ahli Persatuan Bentara Sakti datang bercuti dan berkelah di Sungai Aring 10 sambil untuk memancing ikan dan saya bersyukur kerana selamat, tetapi sedih juga dua ahli kami yang hilang belum ditemui,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu merupakan pengalaman pahit bagi diri setelah berdepan dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya sendiri dan akan mengambi iktibar daripada apa yang berlaku itu.

Sinar Harian 26 Okt 2014


Mayat kedua mangsa lemas Sungai Aring ditemui
 

ANGGOTA penyelamat membawa mangsa lemas, Nasrul Hafiz Shahrudin, 29, yang dijumpai selepas tragedi berakit di Sungai Aring, Gua Musang dua hari lalu, ditemui petang tadi. - Foto Ramli Ibrahim

KOTA BAHARU : Seorang lagi mangsa lemas dalam tragedi berakit di Sungai Aring, Gua Musang dua hari lepas, ditemui petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Ahmad Nordin Ibrahim berkata mayat Nasrul Hafiz Shahrudin, 29, dari Taman Desa Rhu Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan ditemui kira-kira jam 4.30 petang.

"Mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini mayat Mohd Nor Abdul Rahman, 47, daripada Taman Sri Medan, Petaling Jaya, Selangor, ditemui kira-kira 3.30 petang semalam.

Semalam, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 7 malam pada Jumaat, kedua-dua lelaki itu bersama lapan rakan lain sedang berkelah di Kuala Koh, sebelum menaiki rakit buluh yang dipinjam daripada penduduk Orang Asli untuk memancing ikan.

Rakit buluh itu melanggar batu di tengah sungai menyebabkan mereka terjatuh ke dalam sungai.

Bagaimanapun, lapan yang lain dapat menyelamatkan diri - BERNAMA

26 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment