October 21, 2014

Pesakit mental 12 hari hilang tanpa berita

Rohani bersama Ketua Umno Cawangan Taman Cendana, Wan Mohd Hazan Wan Hasbullah menunjukkan MyKad Raja Asyraf dan laporan polis yang telah dibuat. Gambar kecil : Raja Asyraf

PASIR GUDANG - Seorang lelaki pesakit mental hilang selepas kali terakhir dilihat berada di kediaman keluarganya di Taman Cendana, di sini sekitar jam 12 tengah malam 29 September lalu.

Ibunya, Rohani Ismail, 53, berkata, anak keempatnya, Raja Asyraf Raja Soh, 22, yang mengalami masalah mental ketika berusia 17 tahun sebelum ini tidak pernah tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, penyakit anak keempatnya itu semakin tidak stabil apabila ubat yang dibekalkan pihak Hospital Permai, Tampoi tidak dimakan secara terkawal.

“Kali terakhir saya lihat dia ketika terserempak di dapur sekitar jam 12 tengah malam 29 September lalu dan ingatkannya makan ubat.

"Sehingga ke hari ini (semalam) sudah 12 hari dia tidak pulang” katanya.

Katanya, anaknya itu  biasanya hanya berkeliaran di kawasan flat kediaman dan pernah sebelum ini berjalan kaki ke rumah kakaknya di Taman Perling.

“Saya perasan malam terakhir ketika terserempak dengannya masa itu dia berbaju t-shirt hijau dan memakai seluar jeans biru.

“Ada rakan melihatnya di Lebuh Raya Tiram-Desaru Sabtu lepas," katanya.

Rohani yang telah membuat dua laporan di Balai Polis Taman Scientex dan Pasir Gudang merayu orang ramai yang melihat anaknya supaya menghubunginya di talian 019-7928610 atau ke balai polis berhampiran.

Sinar Harian 11 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment