October 21, 2014

Mayat lelaki ditemui dibunuh di Manjung

IPOH - Seorang lelaki dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemui di kawasan belukar berhampiran tapak pembinaan perumahan baharu di Taman Pantai Damai dekat Manjung, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 2.20 petang dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan dikerumuni ulat.

"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh sejak empat hari lepas, berdasarkan kepada beberapa kesan luka dan lebam pada anggota badannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada tubuhnya.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

17 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment